
SEGALANYA YANG PERLU ANDA TAHU TENTANG PAD BREK
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini saya akan mengupas serba sedikit mengenai Brake Pad dan juga kepentingannya.
Umum mengetahui apa fungsi Brake Pad. Pelbagai jenis Brake Pad yang terdapat di pasaran sekarang. Ada yang mahal, ada yang murah. Cuma, jenis apa yang kita perlukan sebenarnya ?
Pertama sekali, tiada Brake Pad yang sempurna di dunia ini. Masih belum ada lagi Brake Pad dibuat untuk semua kegunaan. Brake Pad yang ada di pasaran sekarang ini kebanyakannya dibuat spesifik untuk sesuatu tujuan. Sebab itulah ada perbezaan dari segi material, kaedah pembuatan Brake Pad itu sendiri, Heat Range dan Friction Coefficient.
BACA: SEGALANYA TENTANG CALIPER BREK
Kita pergi satu-persatu.
🛠Jenis-Jenis Brake Pad
Sudah banyak artikel Bahasa Melayu mengupas tentang topik ini. Tapi tak apa. Kita refresh balik. Jenis Brake Pad yang biasa terdapat di pasaran ada 3 jenis iaitu :-
- Organik
- Metallic
- Seramik
Daripada ketiga-tiga material yang digunakan ini, terdapat perbezaan besar dari segi keupayaan, kecekapan, ketahanan dan paling penting harga.
ORGANIK
Saya ringkaskan disini, jenis organik adalah murah, lembut, tak berapa bising, mengeluarkan banyak habuk dan cepat habis. Ianya juga tidak sesuai digunakan ketika perlumbaan. Jadi, untuk kegunaan bandar dan harian adalah sesuai. Jangan hentam pergi track day pulak ye.
METALIK
Jenis Metallic pula ada bermacam jenis. Tapi kebiasannya ada di pasaran adalah jenis Low-Metallic dan Semi Metallic.
Low-Metallic ada 10%-30% besi di dalamnya. Semi-Metallic pula ada 30%-65% besi di dalamnya. Haa, lebih dari separuh isi perut Brake Pad ni adalah besi.
Kenapa ? Sebab jenis ini membolehkan haba dikawal dengan baik. Bila haba dapat dikawal dan diserap dengan baik, tak usah risau dengan masalah Brake Fade ketika membrek.
BACA: SEGALANYA TENTANG BREK ROTOR/DISC
Dari segi kecekapan mmg cekap lah. Dari segi ketahanan, memang tahan. Cuma tu lah, usia Brake Rotor pula makin singkat. Ye lah, dah separuh daripada isi Brake Pad tu besi kan. Untuk kegunaan perlumbaan, memang sesuai. Untuk harian, boleh pilih Low-Metallic. Bising tak ? Bising bossku. Harga ? Sedang sedang saja.
SERAMIK
Jenis Seramik kebanyakannya digunakan pada kenderaan mewah. Ada juga pengeluar buat untuk kenderaan biasa, terpulang kepada pengguna. Jenis Seramik ini memang tahan lama. Senyap pulak tu.
Jarang lah kereta mewah brek berbunyi. Melainkan kalau pemilik menggunakan Brake Pad jenis aftermarket yang murah. Tak pun Brake Pad sekenhen.
Jangan gelak, ada je yang tanya pasal Brake Pad sekenhen. Berhabuk ? Jarang bossku. Brake Pad jenis Seramik ni tidak mengeluarkan banyak habuk. Harga ? Paling mahal diantara jenis Brake Pad yang saya sebutkan diatas.
Baiklah, tamat cerita ringkas tentang jenis-jenis Brake Pad. Kita masuk lain topik pula.
🛠Heat Range
Bagi Stock Brake Pad, kebiasaannya Heat Range nya adalah dalam lingkungan 0-300’C. Dalam julat ini, keberkesanan brek adalah dijamin.
Akan tetapi, apabila suhu meningkat melebihi nilai ini, maka berlaku lah perkara yang dipanggil Brake Fade. Hal ini kerana Brake Pad menerima suhu lebih dari apa yang ia mampu tampung sekaligus mengurangkan kecekapan membrek.
BACA: RAHSIA TENTANG MINYAK BREK (BRAKE FLUID)
Tapi jangan risau, untuk pemanduan harian dan di dalam bandar, susah sebenarnya untuk sampai ke Heat Range lebih dari 300’C. Melainkan piston Brake Caliper anda jammed.
Bagi syarikat pengeluar komponen brek seperti Endless, Brembo, AP Racing, EBC dan sebagainya, produk Brake Pad yang mereka keluarkan mempunyai banyak variasi.
Perkara utama yang membezakan setiap variasi Brake Pad adalah Heat Range nya. Dari nilai Heat Range ini juga lah kita dapat menentukan Brake Pad apa yang kita perlu pilih atas sesuatu tujuan.
Sebagai contoh, untuk kegunaan perlumbaan di trek, kebiasaannya Brake Pad mampu menerima suhu ketika operasi sehingga 600-700’C. Jadi, janganlah memilih Brake Pad yang mempunyai Heat Range maksimum 500’C sahaja. Pilih yang mampu menampung suhu lebih dari itu.
Bagaimana kita nak tahu suhu operasi rotor dan pad ? Sekarang ada satu teknologi yang dipanggil “Thermochromic Paint”. Cat ini mampu memberikan data tentang suhu operasi rotor dan pad.
Caranya mudah, hanya sapu cat ini di unit rotor anda. Ia mengandungi 3 warna iaitu Hijau, Oren dan Merah. Setiap warna menyatakan suhu berbeza seperti berikut :-
- Hijau – 430’C
- Oren – 560’C
- Merah – 610’C
Pemanduan ujian dilakukan dalam beberapa pusingan. Setelah itu, kita dapat lihat keadaan cat pada rotor tersebut berubah warna (oxidize) menjadi putih atau tidak. Jika hanya warna hijau yang berubah warna, bermakna suhu maksimum operasi brek rotor tersebut adalah dalam lingkungan 430’C. Jika warna oren atau merah bermakna suhu operasi adalah lagi tinggi. Data yang diperolehi ini mampu membantu anda untuk memilih jenis Brake Pad yang hendak digunakan.
Kebiasaannya pihak pengeluar akan meletakkan nilai Heat Range pad kotak Brake Pad mereka. Jadi, periksa betul-betul Heat Range pada kotak Brake Pad anda ye. Oh ya, bila mampu tahan suhu melampau sebegini, kebiasannya jenis Brake Pad ini adalah dari jenis Semi-Metallic.
🛠Friction Coefficient “µ”
Setiap Brake Pad mempunyai nilai Friction Coefficient sebagai standart. Sebagai contoh, DOT pada Brake Fluid. Nilai Friction Coefficient ini juga kebiasaannya akan dipaparkan pada bungkusan/kotak Brake Pad sebagai panduan untuk pengguna.
Bagi Brake Pad biasa, nilai Friction Coefficient kebiasaannya pada julat 0.35-0.42µ. Semakin tinggi nilai semakin makan/mencengkam (grip) brek tersebut. Racing Brake Pad ada yang sampai sehingga 0.55-0.62µ.
Mungkin ada yang tanya, kenapa tak seragamkan Brake Pad pada nilai tinggi ?
Tak sesuai. Seperti yang saya terangkan diatas, setiap Brake Pad dibuat pada tujuan tertentu. Sebab itu tidak digalakkan pakai Racing Brake Pad ketika pemanduan harian.
Cuba bayangkan tekan sikit je terus lekat. Kena pulak bawa bakal mak mertua, mahu tersungkur orang tua tu. Tak pun cium dashboard. Nilai Friction Coefficient juga bergantung kepada material Brake Pad. Lain material lain lah nilainya.
Macam mana nak kira ? Biasanya pihak pengeluar akan menggunakan Brake Dynomometer untuk mendapatkan data yang tepat. Ingat ya, nilai Friction Coefficient ni memainkan peranan besar di dalam sistem brek. Ia juga menentukan berapa lambat anda boleh brek sebelum masuk ke Turn 15 di Sepang.
Lagi satu, bila brek dah grip, harganya perlu dibayar dengan memendekkan usia pad dan juga rotor. Give & take bak kata omputeh. Nak brek makan, cepat habis lah jawabnya.
Kesimpulannya, ada 3 perkara utama perlu dititik beratkan di dalam melakukan pemilihan Brake Pad iaitu jenis, Heat Range dan Friction Coefficient dan mestilah seiring dengan spesifikasi.
Jangan salah pilih. Ketiga-tiga perkara utama ini kebiasaannya akan dipaparkan pada kotak produk. Rajin tak rajin je kita nak baca.
Jadi, ini lah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan kepada anda semua tentang Brake Pad. Semoga kita semua mendapat manfaat.
Sekian, Terima Kasih.