Buletin

SEIKO DAN HONDA HASILKAN JAM TANGAN. BERI PENGHORMATAN KEPADA HONDA SUPERCUB, BERMULA RM1.5K

Pembuat jam tangan Seiko bekerjasama dengan Honda untuk menghasilkan jam tangan bagi memberi penghormatan kepada salah satu motosikal yang paling banyak dihasilkan dalam sejarah iaitu Honda Super Cub.

Sejak dilancarkan pada tahun 1958, dianggarkan lebih 87 juta unit Honda Super Cub telah dihasilkan. Motosikal itu boleh didapati dalam saiz enjin dari 50 hingga 125cc dan dikenali sebagai motosikal yang menghidupkan semula Jepun pada pasca perang.

Kesederhanaan dalam penggayaan, ringan, menakjubkan, serta kebolehpercayaan jenama Honda menjadikannya salah satu motosikal paling signifikan pada akhir abad ke-20.

Untuk meraikan kejayaan ini, Honda dan Seiko telah mencipta jam tangan berdasarkan platform 5 Sports Seiko, reka bentuk yang telah wujud selama hampir 50 tahun.

Muka jam tangan itu direka bentuk seperti Super Cub, dengan lampu depan dan penunjuk direplikasi pada bahagian atas dail. Bahagian tali pula menampilkan penjenamaan ‘Honda’ dan ‘Super Cub’, manakala crown menunjukkan tolok bahan api seperti yang terdapat pada motosikal.

Terdapat dua versi jam tangan Seiko 5 Sports Super Cub Edisi Terhad untuk direbut itu warna cerah dan lebih gelap. Setiap satu model itu terhad kepada 6,000 dan 5,000 unit sahaja. Ia turut didatangkan dengan kotak khas dan nombor edisi terhad pada belakang bekas kaca.

Jam tangan berwarna krim boleh didapati pada harga £340 (RM1,577), manakala pilihan gelap dijual pada harga £380 (RM1,763) seutas di UK. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi Seiko.

Google ads
Back to top button