Buletin

KENA REMBAT JAM TANGAN BERNILAI RM1.36 JUTA MILIK PEMANDU FERRARI

Jam tangan mewah jenama Richard Millie milik pemandu Formula Satu Ferrari, Charles Leclerc yang bernilai £246,000 (RM1.36 juta) dicuri di Itali kelmarin.

Menurut akhbar Itali, Corriere della Sera, insiden berlaku ketika dia didatangi seorang lelaki yang ingin bergambar bersamanya kira-kira jam 10 malam di bandar Viareggion di Tuscan.

Pendahulu kejohanan dunia itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian terbabit. Dia ditahan oleh peminat untuk tujuan bergambar dan meminta tandatangan sebelum jam tersebut direntap dari pergelangan tangannya oleh seorang daripada mereka yang kemudiannya melarikan diri.

Leclerc difahamkan telah membuat laporan polis dan jurulatihnya, Andrea Ferrari yang ada bersama ketika itu membuat satu hantaran di media sosial berkenaan insiden terbabit.

“Keadaan di Via Salvotari sangat gelap sekian lama dan kami telah melaporkannya. Malam tadi mereka merompak kami. Adakah anda terfikir untuk membetulkan lampu jalan? Minta bantuan kawan,”

Leclerc menyaksikan kejohanan tenis Masters MonteCarlo sebelum kejadian samun itu berlaku.

Terdahulu, dia memuat naik gambarnya dalam ‘simulator’ Ferrari ketika dia bersiap untuk Grand Prix Emilia Romagna hujung minggu ini.

Leclerc akan ke Imola sebagai pendahulu kejuaraan dunia dengan 34 mata selepas meraih kemenangan kedua dalam tiga perlumbaan. – HM

Google ads
Back to top button