Buletin

TIDAK MAHU LEBIH RAMAI MATI KATAK, BAS 142 ‘INTO THE WILD’ DIPINDAHKAN

Pada 6 September 1992, sekumpulan pemburu rusa menemui mayat Christopher McCandless di dalam sebuah bas tinggal di bahagian utara Taman Negara Denali, Alaska Amerika Syarikat.

Pengembaraan lelaki berusia 24 tahun itu dipopularkan oleh buku bertajuk Into the Wild yang diterbitkan pada tahun 1996. Setahun kemudian, sebuah filem dengan tajuk sama disiarkan.

Ia mengisahkan perjalanan McCandless dari rumah ibu bapanya di kejiranan kaya di Washington sehinggalah dia terjumpa dengan bas berwarna hijau putih yang kemudian menjadi destinasi terakhirnya.

Semangat individualis yang ingin meninggalkan dunia luar menjadikan McCandless seorang hero di mata ramai pemujanya.

Penulis buku, wartawan Jon Krakauer pada tahun 2013 menulis dalam New Yorker bahawa dia menerima beribu-ribu pucuk surat.

Mereka nyata mengagumi sikap McCandless yang tidak mahu mengikut kebiasaan serta tidak materialistik dalam usaha mencari sesuatu yang tulen. Selain mahu menguji diri dan merasai pengalaman hidup tanpa sebarang jaring keselamatan.

Namun, dalam banyak surat itu, seorang penulis surat tidak bersetuju dengan kepercayaan tersebut.

“Penghijrahan” mencari bas buruk itu seperti yang digelar oleh penduduk tempatan bandar Healy, Alaska sebenarnya sangat berbahaya.

Ramai pengembara terpaksa diselamatkan oleh pihak berkuasa. Malah, dua orang meninggal dunia dalam keadaan tragik. Beberapa kematian dan misi menyelamat membuatkan ramai pihak mahu bas tersebut dipindahkan sebelum lebih ramai yang terkorban.  

Justeru, pihak berkuasa akhirnya mengalihkan bas tahun 1940-an itu dengan penuh gaya. Ia diangkut oleh sebuah helikopter CH-47 Chinook.

“Kami mahu orang ramai menikmati alam semula jadi Alaska dengan selamat. Kami juga tahu bas ini mempunyai banyak imaginasi popular. Namun, ia mendatangkan bahaya dan misi menyelamat yang mahal, selain meragut nyawa pengunjungnya,” jelas satu kenyataan oleh tentera Amerika.

Bas yang turut dipanggil sebagai Magic Bus atau Bus 142 merupakan sebahagian daripada sistem transit bandar Fairbanks. Ia telah dibeli oleh syarikat pembinaan Yutan untuk digunakan sebagai tempat berteduh para pekerja yang membina jalan di sana.

Jalan tersebut berjaya disiapkan pada tahun 1961 dan bas itu ditinggalkan untuk mereput berhampiran sebatang sungai.

McCandless menghabiskan masa 114 hari di dalam Bus 142 pada penghujung perjalanan solonya selama dua tahun. Selepas tiga bulan di sana serta menyedari bekalan makanan sudah habis, dia mengambil keputusan untuk kembali ke bandar.

Malangnya, musim panas telah mengubah kawasan itu menjadi sungai yang deras. Terperangkap tanpa hala tuju, McCandless terpaksa kembali ke bas berkenaan dan mati kebuluran beberapa bulan kemudian.

Sungai yang sama telah meragut nyawa Claire Ackerman dari Switzerland pada tahun 2010 dan Veramika Maikamava (Belarus) pada tahun 2019. Mereka berdua cuba untuk menyeberangi sungai Teklanika yang sangat sejuk dan berarus deras untuk pergi ke bas itu.

Krakauer mengakui misi mengalihkan bas itu memberikannya perasaan yang bercampur-baur. “Kawasan ini tidak lagi dihormati. Tetapi memang tragis apabila ramai yang mati kerana melakukan perkara-perkara bodoh,” katanya.  

Dia juga tertanya-tanya sama ada pengalihan bas itu akan menghilangkan tarikan orang ramai untuk pergi melihat sendiri perjalanan McCandless.

“Bas itu mempunyai simbol yang penuhkuasa. Ia menjadi satu bentuk menifestasi aneh tentang McCandless yang tidak akan hilang dalam masa terdekat ini,” kata Krakauer. – Smithsmonian Magazine

Google ads
Back to top button