Buletin

SELAMAT TINGGAL MERCEDES X-CLASS! TAMAT PADA MEI 2020

Mercedes-Benz X-Class dilancarkan di Afrika Selatan pada Julai 2017 dan berjaya menarik perhatian ramai kerana ianya adalah sebuah pikap dari jenama premium.

X-Class juga adalah lambang kerjasama di antara dua firma besar, ia diasaskan daripada Nissan Navara. Walaupun menggunakan badan yang sama, Mercedes-Benz telah mengubahnya luar dan dalam sesuai dengan status jenama dari Jerman itu.

Kini memasuki tahun ketiga di pasaran, laman web Auto Motor und Sport melaporkan pengeluaran X-Class bakal dihentikan pada Mei 2020.

Penamatan X-Class yang dikeluarkan di kilang Nissan di Barcelona disahkan oleh Mercedes kepada laman web tersebut.

Di dalam porfolio global Mercedes-Benz, X-Class adalah sebuah model niche dan hanya signifikan di beberapa pasaran seperti Australia dan Afrika Selatan.

Mengikut perancangan, X-Class sepatutnya dikeluarkan di Argentina namun dibatalkan pada suku pertama 2019. Keputusan dibuat selepas  jangkaan harga yang tidak dapat dipenuhi di pasaran Latin Amerika tambah Mercedes kepada laman web itu.

Menurut laporan laman web itu lagi, jualan X-Class pada 2019 ialah sebanyak 15,300 unit di peringkat global.

Jumlah tersebut jauh di belakang apabila dibandingkan dengan pikap saiz sederhana lain. Bagaimanapun, Mercedes bukanlah jenama massa dan tertumpu kepada segmen premium.

Tidak dapat dipastikan kenapa jualan X-Class ‘tidak meletup’, mungkin ia berbeza dengan jangkaan pengguna untuk sebuah pikap jenama premium.

Walaupun Mercedes telah mengubahnya dari luar hingga ke dalam, karakter Nissan Navara masih boleh didapati dengan mudah terutama sekali pada profail sisi.

Penamatan X-Class tidak bermakna Mercedes perlu berhenti, mungkin sebuah lagi pikap dengan citarasa sendiri pada masa akan datang?

Harga juga bukan penghalang kerana Mercedes mempunyai peminat tersendiri. Atau pikap yang dapat menyaingi Ford Ranger Raptor?

Sumber berita asal: Auto Motor und Sport

Google ads
Back to top button