-e1509442126665-700x470.jpg)
KELEBIHAN 7 DCT BERBANDING 6 AT PADA X70
Kami telah memandu uji Proton X70 tahun lepas ketika ia mula-mula dilancarkan. Ia menggunakan enjin 1800cc pancitan bahan api terus yang menghasilkan 181 kuasa kuda dan 285Nm tork dari 1700-4400 RPM. Proton mendakwa penggunaan petrol adalah sekitar 12.8km bagi setiap liter, namun ujian sebenar di atas jalan adalah sekitar 8.9km sahaja bagi setiap liter petrol.
Rakan media Paultan pula telah menjalankan ujian dynometer pada Proton X70. Data yang diperolehi pada mesin dyno menunjukkan daripada 181 kuasa kuda dan 285Nm yang dihasilkan oleh enjin, hanya 165 kuasa kuda dan 262Nm tork sahaja yang sampai kepada tayar.
Jadi daripada data ini kita mendapati kecekapan sistem transmisi Proton X70 hanyalah sekitar 91.92% sahaja. Sebanyak 8% tenaga mekanikal yang dihasilkan oleh enjin hilang disebabkan masalah kecekapan sistem. Ia juga menjelaskan mengapa X70 gagal memperolehi penggunaan petrol 12.8km per liter seperti yang diiklankan. Ya kami tahu X70 ini besar dan berat, ia memerlukan lebih tenaga bagi menggerakkan crossover dengan berat 1.7 tan ini.

Jadi bagi memastikan X70 terus kekal relevan dan berdaya saing, Proton bakal memperkenalkan X70 yang diperbaharui dan dilengkapkan dengan transmisi 7 kelajuan berkembar DCT. Talaan enjin telah dibuat semula agar ia mampu menghasilkan 300Nm tork antara 1750 – 4000 RPM.
Kecekapan bahan api dijangka meningkat dari 12.8km per liter kepada 13.33km per liter namun kami akan menjalankan ujian jalanan bagi mendapatkan data yang sebenar. Berdasakan maklumat yang diperolehi di laman sesawang Geely, transmisi 7 kelajuan ini mampu menampung tork maksima sehingga 330Nm.
Berat keseluruhan sistem pula hanyalah 75kg sahaja berbanding dengan berat transmisi 6 kelajuan yang mencecah 98kg. Pengurangan berat sebanyak 23kg ini dilihat mampu memberikan kelebihan dinamik pemanduan kepada X70 dan juga membantu mengurangkan penggunaan petrol.

Transmisi 7 kelajuan DCT ini bakal menggunakan sistem klac basah yang lebih tahan lasak berbanding dengan sistem klac kering. Kami telah memandu uji Volkswagen Passat dan mendapati prestasi transmisi 6 kelajuan berkembar ini tidak jauh beza dengan transmisi AT yang biasa.
Antara salah satu sebab transmisi 7 kelajuan DCT ini menggunakan sistem klac basah ialah keupayaan sistem untuk menyingkirkan haba ketika beroperasi berbanding dengan sistem klac kering yang digunakan oleh Ford dan juga sesetengah model Volkswagen. Berdasarkan laporan sebelum ini, klac kering gagal mengekalkan koefisyen geseran ketika suhu mulai meningkat.

Dengan memperkenalkan sistem klac basah, kehadiran cecair hidraulik di dalam sistem mampu menyingkirkan haba yang terhasil semasa operasi, mengekalkan koefisyen geseran dan memiliki hayat operasi yang lebih panjang. Kehadiran cecair hidraulik di dalam sistem juga berupaya menyingkirkan masalah jerking, sentapan dan penukaran gear yang tidak lancar ketika operasi seperti yang kami uji pada Volkswagen Passat.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi di laman sesawang, Proton mendakwa kecekapan sistem ini telah meningkat kepada 97% berbanding dengan 91.92% pada sistem transmisi 6 kelajuan automatik. Jadi kami menjangkakan jika diuji pada mesin dyno, 175.7 kuasa kuda dan 291 Nm tork akan sampai ke tayar lantas menjadikan pecutan X70 lebih baik dan penggunaan petrol yang lebih efisyen
Berdasarkan maklumat laman sesawang, Volvo XC40 yang menggunakan transmisi 7 kelajuan DCT ini memiliki ratio antara 3.529 (maksima) dan 0.725 (minima). Kelajuan maksima ditetapkan pada 200km/j.