Buletin

MERCEDES-AMG GT R & GT C DILANCARKAN DI MALAYSIA. HARGA BERMULA RM1.5 JUTA

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan model Mercedes-AMG GT R dan GT C yang telah dipertingkatkan ke pasaran tempatan.

Harga jualan kedua-dua jentera ini adalah seperti berikut:

  • Mercedes-AMG GT-R – RM1,712,888
  • Mercedes-AMG GT-C – RM1,558,888

Mercedes-AMG GT R dan GT C yang telah diperbaharui itu dilengkapi pelbagai teknologi termaju. Ini bagi menjadikannya jentera terpantas, selain menawarkan pemanduan lebih lincah atas jalan raya atau di litar lumba.

Mewarisi satu misi “One Man-One Engine”, setiap jentera AMG didatangkan dengan enjin yang dipasang oleh individu terlatih.

Kedua-dua model itu juga menggunakan sistem pengurusan udara aktif AIRPANEL. Sistem yang dikawal secara elektronik itu boleh dibuka dan ditutup dalam masa satu saat untuk menambah baik aliran udara dan aerodinamik.   

Mercedes-AMG GT R

Mercedes-AMG GT R dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter (M187) AMG yang mampu menjana kuasa mencecah 585hp dan tork puncak 700Nm. Kuasa enjin itu disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar AMG SPEEDSHIFT DCT 7-kelajuan.

Enjin lapan selinder itu menjanjikan maklum balas serta-merta dan mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 3.8 saat dengan pecutan maksimum 318km/j.

Menghabiskan kebanyakan masa di litar Nürburgring Nordschleife yang turut dikenali sebagai Green Hell, AMG GT R turut digelar Beast of the Green Hell dengan catatan masa 7:10.9 minit.

Aspek aerodinamik menjadi penyumbang utama kepada prestasi jentera AMG. Bahagian hadapannya kini lebih rendah. Sementara gril radiator direka agar boleh menyalurkan aliran udara yang lebih efisien.

Komponen karbon yang terletak di bahagian bawah membolehkan AMG GT-R mengambil selekoh dengan lebih pantas, selain mengurangkan daya seretan.

Prestasi pemanduan AMG GT-R turut disumbang oleh penggunaan sistem suspensi yang direka khas untuk kegunaan di litar lumba. Kawalan sistem adaptif AMG RIDE CONTROL pula memberikan kualiti pemanduan yang lebih jitu dan mengurangkan kadar olengan ketika di selekoh.

Mercedes-AMG GT C

Diposisikan di antara AMG GT S dan AMG GT R. Ia menggunakan khidmat enjin V8 turbo bersesaran 4.0 liter yang dipadankan dengan kotak gear AMG Speedshift DCT 7-kelajuan.

Mampu menjana kuasa sehingga 557hp dan tork 680Nm, jentera ini mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 3.7 saat dengan pecutan maksimum 316km/j.

Ciri AMG DYNAMIC SELECT membenarkan pemandu mengubah suai karakteristik jentera AMG pada transmisi, suspensi serta input stereng bergantung kepada keperluan dan kehendak pemandu.

Bersama sensor yang mampu mengesan kelajuan serta sudut stereng, sistem akan memberikan anggaran bagaimana kenderaan memberikan reaksi. Hasilnya, ia berupaya memberikan dinamik pemanduan yang lebih dekat dengan pemandu tanpa terlalu dipengaruhi oleh sistem elektronik.

Dari segi penampulan luaran, beberapa perubahan telah dibuat. Antaranya termasuklah lampu hadapan LED yang diambil secara terus daripada model AMG GT empat pintu. Lampu belakang turut menerima rekaaan baru.

Perbezaan antara kedua-dua jentera ini boleh dilihat menerusi beberapa komponen. AMG GT-C didatangkan dengan rekaan ekzos trapezium ala AMG GT 4-door Coupe. Sementara AMG GT-R pula hadir dengan sistem ekzos pada bahagian tengah yang besar dan diapit oleh peresap udara belakang.

AMG GT-C dilengkapi rim tempaan 5 batang berkembar AMG serta angkup brek berwarna merah. AMG GT-R pula menerima rim tempa jenis cross-spoke AMG dan angkup brek berwarna kuning terang.

Menjengah ke ruang kokpit, inovasi teknologi termaju diserlahkahkan dengan skrin instrumen digital bersaiz 12.3 inci dan skrin tengah 10.25 inci yang boleh diubah tetapannya kepada tiga paparan spesifik – Classic, Sporty dan Supersport.

Roda stereng AMG yang dibalut bahan mikrofiber DINAMICA itu didatangkan dengan  butang kawalan serba baharu pada bahagian kiri dan kanan stereng.

Untuk jentera AMG GT-R, Mercedes-AMG melengkapkan ia dengan AMG Track Package yang merangkumi sistem perlindungan rollover, harnesses keselamatan 4 poin, serta pemadam api 2 kg.

Mercedes-AMG menawarkan program pembiayaan FinanceCare serta program penggantian kenderaan MobilityPlus di mana Mercedes akan memberikan kereta gantian sekiranya kenderaan anda diservis melebihi tempoh 48 jam.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button