Buletin

smart KINI DI BAWAH GEELY DAN MERCEDES-BENZ

Dua konglomerat automotif dari Jerman iaitu Mercedes-Benz AG (Mercedes-Benz) dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) dari China telah mengumumkan penubuhan syarikat kerjasama “smart Automobile Co., Ltd.”.

Kerjasama itu melibatkan modal berjumlah 5.4 billion RMB dengan kedua-dua syarikat menyumbang 2.7 billion RMB. Pegangan Mercedes-Benz AG secara majoritinya disumbangkan oleh jenama smart.

Ibu pejabat syarikat itu ialah di Hangzhou Bay, Ningbo dengan operasi jualan di kedua-dua buah negara. 

Dari segi keahlian lembaga pengarah, kedua-dua syarikat akan diwakili oleh tiga pengurusan tinggi.  Li Shufu selaku Pengerusi Geely Holding turut berada di dalam lembaga pengarah.

Tong Xiangbei dari Geely akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif global. Beliau mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam industri automotif.

Sebelum menyertai subsidiari Geely iaitu Lynk & Co pada 2015, beliau berkhidmat dengan Ford selama 17 tahun dan pernah bekerja di Amerika Syarikat, China dan Asia Pasifik.

Beliau mempunyai pengalaman dalam pembangunan kilang pemasangan global dan pelancaran beberapa model baharu.

Mengenai operasi kerjasama, model baharu smart akan direka oleh rangkaian global Mercedes-Benz manakala kerja pembangunan oleh rangkaian kejuruteraan global Geely. Kilang pengeluaran masa depan pula di China.

Produk smart nanti akan dikembangkan kepada segmen B dengan fokus kepada kenderaan elektrik premium dan berhubung (connected).

Sebagai imbasan semula, smart ditubuhkan pada tahun 1994 (idea asal pada 1982 oleh pengeluar jam Swatch) dan model pertama iaitu Smart City-Coupé dilancarkan pada 1998. 

smart kemudian meneruskan pengembangan global dengan memperkenalkan beberapa model seperti Roadster, ForFour dan FourTwo termasuk ke negara kita.

Meskipun sudah tidak aktif di pasaran tempatan generasi baharu FourTwo dibawa masuk oleh pengimport bebas.

Perkembangan terbaru ini dilihat begitu menarik kerana ia disertai oleh Geely yang mempunyai kelebihan operasi di China yang merupakan pasaran automotif terbesar dunia.

Pada masa yang sama, kerajaan di serata dunia juga positif dengan kenderaan elektrik. 

Satu lagi sudut yang menarik untuk dipandang apabila PROTON adalah ahli di dalam ekosistem kumpulan automotif Geely.

Diharapkan PROTON dan negara kita turut menerima limpahan daripada kerjasama dua konglomerat besar ini.

Tags
Google ads
Back to top button