Modifikasi

CONJAP STORY… MERCEDES 190E + SR20DET!

Kat mana kau pada tahun 1982? Mungkin masih bertatih, mungkin juga belum lagi bergelar baby. Ketika jambatan Pulau Pinang baru nak pacak tiang, ketika Michael Jackson sibuk mempromosikan lagu hantunya, ketika negara kita baru menyambut kemerdekaan yang ke-25, sekumpulan jurutera Mercedes diketuai Bruno Sacco sedang pecah kepala untuk melahirkan sebuah model baru dipanggil Baby-Benz.

Walaupun terletak di bawah posisi E-Class and S-Class, model Kompak Eksekutif dengan kod casis W201 ini tidak pernah dipanggil C-Class seperti yang sepatutnya. Ia hanya dijual atas nama 190 Series sehingga model W202 diperkenalkan pada tahun 1993.

Tak jadi masalah. Sebab sejak diperkenalkan, model ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kemunculannya dalam siri perlumbaan, turut mempengaruhi corak milikan.

Ramai yang kagum dengan teknologi yang ditawarkan, memaksa pihak pengeluar menghasilkan beberapa lagi varian pilihan. Dari seringkas enjin 1.8-liter karburetor, sampailah ke model edisi terhad Evolution II dengan enjin berprestasi AMG 2.5-16.

Ini kereta Pok Mang, seorang duta Mercedes dari Kemaman yang sangat free memanjang. Meletakkan model W201 ini sebagai pilihan, ia telah disegarkan semula menjadi sebuah kereta yang lebih moden dan menyeronokkan. Macamana?

Semuanya terletak di bawah hood. Keadaan enjin asal yang terlalu lemau, memaksa ia dipencenkan dan diganti dengan nadi yang lebih munasabah. Nak cari enjin berprestasi seperti Cosworth bukannya murah. Cara terbaik, nikahkan aje dengan enjin RWD buatan Jepun, seperti yang biasa dilakukan oleh pemilik kereta lama yang lain.

Pok Mang menggunakan enjin Nissan SR20DET dari casis Silvia S14. Nak masuk terus mana maunya, jadi cagak enjin ini perlu dibuat semula secara kustom. Ia kemudian diberi sedikit jajan kuasa seperti gasket keluli 1.8mm, penapis udara HKS, wastegate Tial, intercooler dan paip sambungan custom, serta injap pelepas Sheepdog. Hantaran petrol datang dari pam bertekanan tinggi Walbro, manakala kotak ECU asal ditemani unit SAFC dari Apexi bagi mengatur semula nisbah bahan api yang diperlukan.

Nasib baik dashboard S14 yang datang bersama enjin tidak disumbat sama. Pok Mang sebaliknya terus mengekalkan penggunaan komponen asal Mercedes, menerusi pemasangan set tempat duduk dan panel pintu kain pelekat 190E Cosworth. Ada jugak stereng Nardi Torino, tombol gear Sparco, meter tambahan Apexi dan Auto Meter, serta unit RSM Apexi.

Kecuali mata kau ketumbit, rekabentuk 190E ini sebenarnya masih lagi cantik. Kewujudan varian pilihan, turut memberi ilham kepada pemiliknya untuk mencorakkan semula penampilan kereta ini. Tapi Pok Mang orang lama. Nak bikin gempak-gempak macam Evolution II, nanti malu kokram pulop. Sebagai jalan selamat, ia hanya dilengkapi bumper depan Cosworth, panel sisi model ’91, spoiler itek Kamei X1, termasuk cermin sisi Ganador Aero yang diubahsuai.

Model ini mendahului zaman dengan pengenalan sistem gantungan jenis multilink yang selesa. Tapi bahagian hentakannya telah Pok Mang gantikan dengan set suspensi boleh laras dari Cusco. Sementara ruang roda pulak dihiasi rim Zender berukuran 17-inci berserta tayar Achilles ATR Sport dari saiz 215/45ZR-17.

Golongan seperti Pok Mang antara penyelamat yang akan memastikan Mercedes lama seperti ini kekal relevan. Nak beli Mercedes baru sekarang memang tak lalu. Mujur jugak model-model lama seperti ini masih sedap dipandang mata. Pernah tengok W126 bikin mafia? Oh, pepereksaan…

SPESIFIKASI

  • Pemilik – Eman Shah
  • Pengeluar – Mercedes Benz
  • Model – W201/190E
  • Tahun – 1986
  • Engin Asal – M102
  • Modifikasi Enjin – SR20DET Silvia S14, cagak enjin custom, gasket keluli 1.8mm, penapis udara HKS, wastegate Tial, intercooler & paip sambungan custom, injap pelepas Sheepdog, pam petrol Wabro, regulator Sard, Apexi SAFC
  • Transmisi – Standard SR20DET
  • Ekzos – Paip custom 3-inci, muffler Kakimoto Regu 96-R
  • Luaran – Bumper depan Cosworth, panel sisi model ’91, spoiler Kamei X1, cermin sisi Ganador Aero
  • Suspensi – Cusco
  • Brek – Brek 4-pot Mercedes R129 (depan), standard 2-pot (belakang)
  • Rim & Tayar – Zender 17-inci & Achilles ATR Sport 215/45ZR-17
  • Dalaman – Tempat duduk & panel pintu 190E Cosworth, stereng Nardi Torino, tombol gear Sparco, meter tambahan Apexi & Auto Meter, RSM Apexi
  • Bengkel – Azwa Automotive, Kemaman & AMG Garage Batu 3, Shah Alam

-PAK MAUN-

KREDIT: KAKIKERETA.COM

Google ads
Back to top button