
SEMAKIN RAMAI RAKYAT AMERIKA BUAT LOAN KERETA 8 TAHUN!
Kajian terbaru mendedahkan semakin ramai rakyat Amerika Syarikat memilih untuk mengambil pinjaman kereta dengan tempoh sehingga 84 bulan atau tujuh tahun bagi mengurangkan beban bayaran bulanan, berikutan harga kenderaan baharu yang terus meningkat.
Menurut laporan Edmunds, 22.4 peratus pembeli kenderaan baharu kini mengikat pinjaman berjangka 84 bulan atau lebih. Tempoh pinjaman selama enam tahun (72 bulan) pula menjadi pilihan paling popular, mewakili 36.1 peratus pembiayaan kereta baharu.
Sebaliknya, tempoh lima tahun yang pernah menjadi standard kini hanya mencatat kira-kira 19 peratus, manakala pinjaman lebih pendek semakin berkurangan, hanya 6 peratus untuk empat tahun dan 4 peratus bagi tiga tahun.
Walaupun pinjaman selama lapan tahun (96 bulan) masih jarang digunakan, trend itu menunjukkan peningkatan walaupun kekal di bawah satu peratus.

Laporan sama turut mendedahkan isu ekuiti negatif semakin ketara dengan 26.6 peratus kereta yang ditukar (trade-in) masih mempunyai baki pinjaman melebihi nilai kenderaan. Purata jumlah ekuiti negatif tersebut mencecah AS$6,754 (RM31,200).
Situasi ini berlaku apabila pembeli menukar kenderaan baharu sebelum melunaskan pinjaman lama, menyebabkan hutang lebihan itu digabungkan ke dalam pinjaman baharu.
Pilihan tempoh pinjaman lebih panjang memberikan ruang bayaran bulanan lebih rendah, namun kos faedah keseluruhan jauh lebih tinggi. Untuk pinjaman 84 bulan, jumlah faedah purata dianggarkan sekitar AS$15,460 (RM71,400) iaitu AS$4,600 (RM21,300) lebih tinggi berbanding pinjaman lima tahun.
Harga purata kereta baharu di Amerika kini mencecah AS$50,000 (RM230,000), memaksa ramai pembeli mencari kaedah agar bayaran bulanan lebih mampu ditanggung.
“Pembeli menggunakan semua pilihan yang ada – termasuk memanjangkan tempoh pinjaman dan mengurangkan wang pendahuluan – walaupun ia meningkatkan kos keseluruhan,” kata Pengarah Analisis Edmunds, Ivan Drury.
Penganalisis kewangan memberi amaran bahawa trend ini boleh membawa kepada beban kewangan jangka panjang, termasuk kesukaran untuk menjual atau menukar kereta kerana nilai pasaran jatuh lebih cepat berbanding baki pinjaman.

