
BARU DILANCARKAN, 900 UNIT MITSUBISHI XFORCE DISERAHKAN KEPADA PELANGGAN
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mencatatkan permulaan memberangsangkan bagi Mitsubishi Xforce serba baharu selepas model itu dilancarkan secara rasmi pada 8 April 2026.
Sehingga penghujung April, sebanyak 900 unit akan diserahkan kepada pelanggan, sekali gus mencerminkan sambutan positif daripada pengguna di Malaysia.
Model SUV kompak itu dilihat menepati kehendak ramai pembeli tempatan dengan gabungan reka bentuk moden yang berani serta praktikaliti untuk kegunaan harian.

Ia bukan sahaja sesuai digunakan dalam kesesakan bandar, malah turut menawarkan keselesaan untuk perjalanan hujung minggu, menjadikannya pilihan menarik dalam segmen SUV kompak.
Bagi pembeli yang mencari keseimbangan antara gaya, fleksibiliti dan kemudahan pemanduan, Xforce semakin mendapat perhatian.
Pendekatan tersebut membantu model ini menonjol sebagai pilihan baharu yang relevan dalam pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Takashi Sakamaki, berkata pihaknya amat menghargai sambutan menggalakkan terhadap model berkenaan.
Beliau berkata, pencapaian 900 unit penghantaran dalam tempoh bulan pertama selepas pelancaran menjadi bukti keyakinan pelanggan terhadap jenama Mitsubishi serta model baharu itu.
Tambahnya, MMM komited memastikan proses penyerahan kenderaan berjalan lancar di samping terus menawarkan kualiti, kebolehpercayaan dan keyakinan pemanduan yang sinonim dengan kenderaan Mitsubishi.

Untuk rekod, Mitsubishi Xforce hadir dalam dua pilihan varian iaitu Urban dan Ultimate, dengan harga RM109,980 untuk Urban dan RM119,980 bagi Ultimate.
Dari segi rangkaian kuasa, kedua-dua varian menggunakan konfigurasi yang sama iaitu enjin petrol 1.5 liter aspirasi semula jadi bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 105PS dan tork 141Nm.







