
GANGGUAN OPERASI BAWA PADAH, CHINA BEKU PERMIT KENDERAAN AUTONOMI
China dilaporkan menghentikan sementara pengeluaran permit baharu untuk kenderaan autonomi selepas kejadian gangguan operasi robotaxi milik Baidu di Wuhan bulan lalu.
Laporan itu menyebut beberapa kenderaan tanpa pemandu di bawah perkhidmatan Apollo Go tiba-tiba berhenti beroperasi, sekali gus mencetuskan siasatan oleh pihak berkuasa tempatan.
Susulan tindakan itu, syarikat yang membangunkan teknologi pemanduan sendiri tidak dibenarkan menambah robotaxi ke dalam armada sedia ada, melancarkan projek perintis baharu atau memperluas operasi ke bandar lain buat sementara waktu.
Menurut laporan, operasi robotaxi Baidu di Wuhan juga digantung sehingga siasatan selesai.

Setakat ini, laporan berkenaan belum dapat disahkan, manakala beberapa kementerian berkaitan di China termasuk industri, pengangkutan dan keselamatan awam belum memberikan maklum balas rasmi. Baidu juga belum mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut.
Walaupun begitu, dua lagi pemain utama robotaxi memaklumkan operasi mereka masih berjalan seperti biasa.
Pony.ai menyatakan perkhidmatan robotaxi mereka di Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen tidak terjejas, manakala persediaan untuk peluasan ke Changsha dan Hangzhou turut berjalan mengikut perancangan.
WeRide pula menjelaskan rangkaian robotaxi syarikat itu terus beroperasi seperti biasa dan kini meliputi kawasan melebihi 1,000 kilometer persegi.
Syarikat tersebut turut menyatakan sokongan terhadap langkah pihak berkuasa untuk memastikan standard keselamatan industri terus dipertingkatkan.
Terdahulu pada awal April, pihak berkuasa China mengarahkan kerajaan tempatan menjalankan pemeriksaan kendiri serta memperketat pengawasan keselamatan bagi ujian jalan raya melibatkan kenderaan pintar.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan perkembangan teknologi autonomi bergerak selari dengan tahap keselamatan yang lebih ketat.







