
TANK 300 HEV TARIKAN UTAMA GWM MALAYSIA DI PENANG AUTOSHOW 2026
GWM Malaysia bakal menyertai Penang Autoshow 2026 dengan membawa pendekatan mobiliti pelbagai rangkaian kuasa, namun tumpuan utama diberikan kepada kemunculan sulung TANK 300 HEV di wilayah Utara.
Model SUV hibrid lasak itu menjadi pratonton penting kepada pengembangan barisan TANK, sekali gus memberi gambaran awal strategi jenama tersebut dalam segmen kenderaan gaya hidup berkeupayaan tinggi.
TANK 300 HEV menggabungkan struktur badan ladder-frame dengan teknologi hibrid, menjadikannya sesuai untuk penggunaan harian dan pemanduan lasak.

Gabungan ini membolehkan model berkenaan menawarkan keseimbangan antara prestasi off-road, keselesaan di jalan raya serta kecekapan bahan api, selari dengan permintaan pengguna yang mahukan kenderaan serba boleh.
Kehadiran model itu turut mencerminkan pendekatan “All Powertrain, All Scenario” yang diketengahkan GWM, di mana pelbagai pilihan rangkaian kuasa ditawarkan bagi memenuhi keperluan berbeza.
Dalam konteks tempatan, TANK 300 HEV dilihat menyasar pengguna aktif yang memerlukan SUV berkarakter kukuh, tetapi masih praktikal untuk penggunaan bandar dan perjalanan jarak jauh.

Selain TANK 300 HEV, GWM Malaysia turut mempamerkan beberapa model lain bagi melengkapkan portfolio mobiliti mereka, termasuk HAVAL H6 HEV, WEY G9 serta ORA Good Cat dan Good Cat GT.
Pengunjung juga berpeluang melihat kenderaan dengan lebih dekat melalui sesi penerangan produk, aktiviti interaktif serta peluang pandu uji sepanjang acara.
Penang Autoshow 2026 berlangsung dari 1 hingga 3 Mei di Penang Waterfront Convention Centre, menandakan penyertaan pertama GWM Malaysia di acara automotif berkenaan di wilayah Utara.







