Buletin

SEORANG REMAJA MAUT, 9 CEDERA GARA-GARA MEREMPIT DI LEKAS

Seorang remaja lelaki maut manakala lima lagi parah dan empat cedera ringan dalam kemalangan 10 buah motosikal di kilometer (KM) 26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Terdahulu, tular rakaman di media sosial memaparkan sekumpulan ‘mat rempit’ melakukan aksi berbahaya termasuk `Superman’.

Menurut laporan, kejadian itu berlaku sekitar pukul 10 malam dan aksi-aksi tersebut dirakam kamera papan pemuka kereta yang melalui lebuh raya itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai Deputi Superintendan Mat Ghani Late berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa semua penunggang terlibat bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban.

Tambahnya lagi, salah sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.

Kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun dikejarkan ke Hospital Tuanku laafar Seremban untuk rawatan lanjut.

“Seorang penunggang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang parah dan empat penunggang lain mengalami cedera ringan,” katanya.

“Mangsa yang maut turut dihantar ke hospital sama bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pengawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336.” – KOSMO! ONLINE.

Google ads
Back to top button