Buletin

SMART MALAYSIA RASMI BUKA PUSAT PENGEDAR KEDUA DI JOHOR BAHRU

Smart Malaysia terus memperluaskan kehadirannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) dengan pembukaan pusat pengedar kedua di Johor Bahru.

Terletak di Jalan Tebrau, pusat ini diuruskan oleh AG Autoworld (EV) dan dikenali sebagai Smart Johor Bahru 2.

AG Autoworld (EV) bukanlah nama baru dalam industri automotif Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 1999, syarikat ini telah membina reputasi yang kukuh sebagai pengedar kenderaan berkualiti tinggi.

Baru-baru ini, mereka meraih pelbagai anugerah berprestij di bawah jenama PROTON pada Persidangan Pengedar Proton 2024, termasuk Anugerah Emas bagi prestasi jualan dan perkhidmatan.

Ini mengukuhkan lagi keyakinan Smart Malaysia dalam melantik AG Autoworld sebagai pengedar bagi pusat pengedar kedua mereka di Johor Bahru.

Pusat pengedar Smart Johor Bahru 2 mempunyai keluasan 230m², menyediakan ruang untuk tiga unit pameran kenderaan dan juga ruang penghantaran.

Selain itu, ia turut mempamerkan barangan eksklusif jenama Smart, iaitu SmartIdea, sekaligus menambahkan lagi daya tarikan kepada pengunjung.

Smart Johor Bahru 2 menawarkan pengalaman yang menyeluruh kepada pelanggan, dari proses pemilihan kenderaan hingga ke perkhidmatan selepas jualan selain, penasihat terlatih sedia membantu pelanggan dalam setiap langkah.

Pusat pengedar ini juga berfungsi sebagai hab komuniti yang dinamik, membolehkan pelanggan menerokai pelbagai pilihan kenderaan Smart serta menikmati perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan mereka.

Dengan pembukaan Smart Johor Bahru 2, Smart Malaysia kini mempunyai 13 pengedar dengan 14 outlet di seluruh negara.

Daripada jumlah ini, 12 pusat pengedar sudah mula beroperasi, termasuklah yang terbaru ini.

AG Autoworld turut mengadakan roadshow BRABUS Fever di Aeon Tebrau City Mall dari 13 hingga 18 Ogos 2024, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkenalkan inovasi terbaru Smart kepada umum.

Selain itu, pengunjung berpeluang menerokai teknologi terkini Smart #3 serta menikmati tawaran eksklusif, termasuk diskaun sehingga RM30,000 untuk Smart #1 BRABUS.

Google ads
Back to top button