Buletin

NISSAN ALTIMA 2025 UNTUK AMERIKA SYARIKAT, TURBO GUGUR, PAKEJ SE BAHARU

Pasaran Amerika Syarikat (AS) dan China kekal relevan untuk kereta sedan dan dibantu oleh pasarannya yang besar.

Bukti boleh dilihat pada Nissan Altima generasi keenam yang dikeluarkan sejak 2018 sehingga sekarang. Di pasaran luar, Altima dikenali sebagai Teana dan pernah dijual di dalam negara selama dua generasi.

Lama di pasaran, Altima menerima pakej perubahan luar dan dalam pada 2022 untuk model tahun 2023. Kedua-dua pasaran AS dan China tampil dengan bampar yang berbeza.

Berbekalkan rekaan yang segak, Altima terus ditawarkan di AS dan Nissan menambah pakej baharu SV Special Edition dan naik taraf kepada varian SV yang popular.

Di antara pakej kelengkapan seperti skrin 12.3 inci Definisi Tinggi (HD) berwarna, pad pengecasan telefon tanpa wayar, kawalan suhu dua zon dan bumbung kaca (moon roof) panel tunggal.

Menambah lagi tarikan rim 17 inci warna hitam kilat, spoiler but, konsol tengah kemasan gentian karbon dan pelapik bendul pintu bercahaya.

Altima ditawarkan dalam empat varian utama iaitu S, SV, SR, dan SL dan semua varian dilengkapi penutup jeriji aktif.

Satu yang menarik ialah kecuali tiga varian teratas, Altima boleh dipesan dengan Pacuan Semua Roda Pintar (AWD).

Dari segi kelengkapan, Altima SL lebih menyeluruh dengan rim 19 inci, hendal pintu luar krom, panel meter corak ira kayu jati gelap, sistem audio Bose dan sembilan pembesar suara.

Menggerakkan Altima ialah enjin 2.5 liter PR25DD yang menghasilkan 188 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan tork 244Nm pada 3,600 rpm.

Model AWD sedikit rendah iaitu 182 hp pada 6,000 rpm dan tork 241Nm pada 3,600 rpm. 

Penyenaraian spesifikasi Altima 2025 dibuat tanpa enjin 2.0 liter VC-Turbo atau dalam bahasa mudah digugurkan. 

Nissan juga tidak mempunyai rangkaian kuasa hibrid penuh dan hibrid ringan untuk pasaran AS. Enjin naturally-aspirated Altima dipadan bersama kotak gear CVT Xtronic.

Semua varian Altima dilengkapi Nissan Safety Shield® 360 yang merangkumi sistem seperti Pembrekan Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki, Amaran Titik Buta dan Bantuan Lampu Tinggi.

Turut dilengkapi Amaran Penukaran Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Pembrekan Belakang Automatik.

Sistem ProPILOT Assist dengan fungsi Kawalan Pemanduan Pintar dan bantuan stereng dijadikan ciri asas untuk Altima SL.

Dari segi pengendalian, Altima SR berbeza dengan ampaian talaan sport. SR dan SL mempunyai sistem Active Ride Control dan Intelligent Trace Control dan dijadikan pilihan untuk SV.

Harga bermula dari AS$27,000 (RM118,415) untuk varian asas Altima S dan AS$34,830 (RM152,747) bagi varian teratas SL AWD. 

Gambar: Nissan

Google ads
Back to top button