Buletin

VIDEO TULAR CUBAAN TARIK KERETA DI R&R TAPAH, PEMANDU LAIN KONGSI KISAH ‘DIPUKAU’

Sebuah video tular baru-baru ini di media sosial apabila seorang wanita berkongsi pengalaman berhubung kejadian cubaan menarik kenderaan tanpa dokumen sah oleh individu tidak dikenali di Tapah, Perak.

Dalam video sama, dia menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di mana-mana hentian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Susulan itu, polis menggesa wanita tersebut untuk hadir ke Balai Polis Tapah memberi keterangan terhadap cubaan menarik kenderaan yang didakwa berlaku di hentian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi bagaimanapun berkata, pihaknya ambil maklum dengan video tular tersebut dan semakan mendapati tiada laporan polis diterima setakat ini.

Beliau pada masa sama berkata, semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan dua lelaki dalam kejadian itu adalah palsu.

Rentetan kejadian itu, rata-rata pemandu lain turut berkongsi pengalaman sama ketika berada di tempat awam.

Menurut pengguna akaun X @AfiqMahadhir, situasi sama pernah terjadi semasa memandu kereta rakannya di sebuah stesen minyak di Sungai Besi, Selangor.

“Dahulu pernah bawa kereta member di Sungai Besi, berhenti tiba-tiba ada dua orang datang cakap dari bank nak tarik kereta. Selepas itu, aku tanya bank mana dan berapa jumlah tertunggak, dia cakap RM4,000.

“Bila aku cakap kereta cash (tunai) terus dia gelabah, dia pura-pura hubungi orang lain sebelum pergi,” tulisnya.

Menurutnya, dia sangat mengambil maklum bahawa kereta milik kawannya itu dibayar sekali gus untuk enam bulan dan mendakwa ia mustahil untuk berlaku tunggakan.

Lebih meyakinkannya terhadap kejadian itu apabila dua individu seakan-akan pegawai bank dilihat tidak tahu tentang pembayaran kereta berkenaan.

Selain dia, terdapat juga kisah sama yang dikongsikan oleh warganet berhubung kejadian itu.

“Saya dah lama kena, macam kena pukau. Kejadian di parkir Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta, Kuala Lumpur.

“Buka pintu, masuk kereta, tiba-tiba ada bonzer (pengawal peribadi) Melayu pakai singlet tolak saya ke tempat penumpang,” dakwa @ds_anita1. — Majoriti

Google ads
Back to top button