Motosikal

APRILIA RSV1000 BAKAL KEMBALI DENGAN BANTUAN ZONSEN

Nama Aprilia RSV1000 sudah pun terkubur selama 15 tahun selepas motosikal itu dihentikan pengeluaran pada 2010 bagi memberi laluan kepada RSV4. 

Bagaimanapun, Piaggio syarikat pemilik kepada jenama Aprilia, telah pun memfailkan permohonan cap dagangan bagi nama RSV1000 di Amerika Syarikat baru-baru ini sekaligus memberi bayangan kemunculan semula model ikonik itu. 

Meskipun permohonan cop dagangan kadang-kala tidak membuahkan sebarang hasil konkrit namun memandangkan terdapat gerakan terbaru dari pengeluar untuk menghasilkan model yang lebih mampu milik maka kemunculan semula RSV1000 tidak boleh dinafikan. 

Sebagai contoh, Ducati memperkenalkan Panigale V2 serba baharu bagi tahun 2025 yang menawarkan kuasa lebih rendah berbanding generasi sebelumnya. Yamaha juga mengorak langkah sama dengan melancarkan YZF-R9 ketika R1 telah pun dihentikan produksi.

Panigale V2 dan R9 antara bukti bahawa terdapat permintaan tinggi bagi motosikal sportsbike yang lebih  menjimatkan kos selain lebih praktikal. Ketika ini, Aprilia tidak menawarkan motosikal dalam kategori sama selain dari RS 660 dan Tuono 660. Ini bermakna RSV1000 dengan enjin V-Twin 1000cc seperti generasi terdahulu dapat memenuhi ruang tersebut. 

Namun begitu, kami menjangkakan Aprilia akan memperkenalkan enjin baharu memandangkan platform V-Twin 60-darjah yang digunakan sebelum ini tidak lagi mencapai standard emisi global. 

Memandangkan Aprilia menjalinkan kerjasama erat dengan Zonsen di China, penghasilan enjin baharu bukan sukar memandangkan Zonsen telah pun menghasilkan semula jentera Aprilia Shiver 900 baru-baru ini. 

Kami difahamkan Zonsen telah pun menghasilkan enjin V-Twin 996cc yang dibangunkan dari enjin V-Twin 896cc yang terdapat pada Shiver 900. Langkah itu terlaksana dengan hanya memanjangkan stroke dari 92mm kepada 97mm. 

Berdasarkan perkembangan dua senario ini, besar kemungkinan RSV1000 hidup semula akan berlaku tidak lama lagi. 

Google ads
"
"
Back to top button