Artikel Pilihan

BUTANG KAWALAN AKAN KEMBALI – KERETA BUKANNYA TELEFON PINTAR

Banyak pengeluar kini secara perlahan-lahan mula mendengar saranan dan komplen dari penggiat media automotif dan pemilik kenderaan tentang ketiadaan suis kawalan fizikal pada kereta-kereta moden. Ada ke patut semua fungsi nak disumbatkan pada skrin kawalan sebesar TV 21 inci pada konsol tengah.

Volkswagen merupakan salah satu pengeluar yang dikatakan akan kembali kepada butang kawalan fizikal pada kenderaan keluaran mereka selepas ini. Sebelum ni bukan main nak sumbat semua fungsi pada skrin sesentuh.

Sebelum ini ia sekadar khabar angin tapi kini berita tersebut telah disahkan oleh bos bahagian rekaan VW sendiri, Andreas Mindt. Beliau menyatakan sendiri kepada Autocar dan mengakui pendekatan tersebut satu kesilapan dan mereka akan berpatah balik kepada keadaan asal. Haa… kan mudah kalau mengaku salah macam ni. Harap ada menteri di masa akan datang yang bersikap macam ni.

Mereka akan memulakan pada ID.2all dan model seterusnya. Butang fizikal akan digunakan untuk lima fungsi utama, kawalan suara, sistem pemanas pada kiri dan kanan kereta, blower penyaman udara dan lampu kecemasan (hazard).

Butang-butang kawalan ini juga akan turut dipasang pada roda stereng untuk kemudahan operasi. Itu yang pelanggan mahu dan ramai yang gembira dengan keputusan ini. Malah VW turut menyatakan yang ia adalah sebuah kereta dan bukannya telefon.

Lima fungsi yang memerlukan kawalan fizikal ialah satu ketetapan keselamatan dari Euro NCAP. Dengan kata lain kalau ianya tiada jangan harap nak dapat pengiktirafan 5-bintang menjelang 2026. Fungsi tersebut ialah untuk hon, pengelap cermin, signal membelok, lampu kecemasan dan fungsi SOS.

Jadi sekarang nampaknya kami penggiat media automotif tidak bersendirian dalam memperjuangkan isu ini. Cukup-cukup dengan saiz skrin yang ada sekarang. Bahkan bos rekaan Mercedes pun dah mengaku sebelum ini, skrin sesentuh bukannya satu ciri mewah pada kenderaan.

Google ads
"
"
Back to top button