Buletin

HONDA CBR650R 2026, WARNA BAHARU MAT GUNPOWDER BLACK METALLIC, KEKAL AGRESIF

Honda CBR650R memasuki tahun model 2026 (26YM) dengan kemas kini penampilan menerusi pilihan warna baharu dan meneruskan legasi model generasi sebelumnya yang telah diperbaharui sepenuhnya untuk model 24YM.

Walaupun dari segi mekanikal tiada perubahan, versi 2026 ini mengekalkan semua teknologi dan prestasi yang telah menjadikannya motosikal sport empat silinder popular di Eropah sejak beberapa tahun lalu.

Model CBR650R mula dikenali sebagai pewaris CBR650F yang dilancarkan pada 2014 dan berubah menjadi versi R pada 2019 bagi menonjolkan identiti lebih agresif dan sporti.

Ia menggabungkan keseronokan motosikal supersport dengan praktikaliti harian yang mudah dikawal dan kos penyelenggaraan munasabah.

Sejak 2021, CBR650R kekal sebagai model sport terlaris di Eropah hasil peningkatan berterusan, termasuk perubahan besar pada suspensi hadapan Showa SFF-BP dan kemas kini reka bentuk menyeluruh pada 24YM.

Kemaskini Model 2026: Fokus Pada Warna Baharu

Untuk tahun 2026, fokus utama terletak pada penyegaran imej dengan dua pilihan warna baharu yang menaikkan lagi gaya moden motosikal ini.

Tiada perubahan teknikal dilakukan pada enjin, casis mahupun teknologi bantuan tunggangan.

Dua warna yang ditawarkan bagi CBR650R 26YM ialah:

  • Mat Gunpowder Black Metallic dengan riasan kuning fluoro (baharu)
  • Grand Prix Red Tricolour

Semua perincian lain kekal seperti model 24YM, termasuk paparan TFT, sambungan RoadSync dan pilihan transmisi E-Clutch.

Reka Bentuk dan Kelengkapan (24YM dikekalkan untuk 26YM)

CBR650R mengekalkan gaya agresif yang diperkenalkan pada 24YM, dengan rekaan badan penuh yang diinspirasikan daripada motosikal lumba CBR-RR.

Bahagian lampu hadapan LED berkembar memberi pandangan tajam, manakala unit ekor lebih kompak melengkapkan profil sporti.

Skrin TFT 5 inci berwarna penuh menampilkan teknologi Honda RoadSync, membolehkan penunggang mengakses navigasi, muzik dan panggilan telefon dengan kawalan mudah melalui suis empat hala di bahagian kiri hendal.

Sistem pencahayaan LED sepenuhnya membantu meningkatkan keterlihatan dan port USB Type-C tersedia di bawah tempat duduk untuk pengecasan peranti.

Casis dan Suspensi

Kerangka jenis keluli berlian (steel diamond frame) terus menjadi asas utama kepada ketegaran dan keseimbangan pengendalian CBR650R.

Suspensi hadapan menggunakan Showa 41mm Separate Function Big Piston (SFF-BP) USD, manakala penyerap hentak belakang jenis tunggal (monoshock) boleh laras 10 tahap pramuatan.

Untuk brek, dua cakera terapung 310 mm di hadapan digabungkan dengan angkup empat omboh jenis radial-mount, sementara cakera tunggal 240 mm di belakang dilengkapi ABS dua saluran.

Rim aluminium 17 inci dipadankan tayar 120/70-ZR17 di hadapan dan 180/55-ZR17 di belakang.

Prestasi Enjin

Enjin empat silinder sebaris 649cc DOHC 16-injap yang terkenal dengan putaran tinggi kekal tanpa perubahan, menghasilkan 95.2 hp (70kW) pada 12,000rpm dan 63Nm pada 9,500rpm.

Pilihan versi 47 hp (35kW) turut disediakan bagi penunggang dengan lesen A2.

Enjin ini mengekalkan ciri seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC), klac jenis assist/slipper, serta penggunaan bahan api 20.4km/l (WMTC) yang membolehkannya mencapai jarak melebihi 300 km dengan tangki 15.4 liter.

Honda E-Clutch: Teknologi Pilihan yang Diteruskan

CBR650R di antara model pertama Honda yang menawarkan sistem Honda E-Clutch iaitu teknologi unik yang membolehkan penunggang menukar gear tanpa menekan klac.

Sistem ini berfungsi automatik ketika mula bergerak atau berhenti, namun klac manual tetap boleh digunakan bila perlu. Berat tambahan sistem hanya 2 kg berbanding versi manual biasa.

E-Clutch memberikan pengalaman tunggangan lebih lancar, mudah dalam kesesakan, dan menyeronokkan di jalan terbuka.

Penunggang juga boleh memilih kadar kekerasan pedal gear antara Hard, Medium atau Soft serta mematikan sistem secara manual jika mahu.

Aksesori Rasmi

Honda menawarkan pelbagai aksesori tulen yang boleh dipasang terus, termasuk dua pek utama:

  • Racing Pack – penukar cepat, penutup tempat duduk belakang, skrin tinggi berwarna kelabu (smoke), pelindung tangki karbon dan pad sisi tangki.

  • Comfort Pack – menambah pemegang hendal dengan pemanas, beg tangki 3L dan beg tempat duduk belakang 15L.

Semua aksesori juga boleh dibeli secara individu mengikut keperluan.

Spesifikasi Teknikal Utama (26YM – kekal seperti 24YM)

  • Enjin: 649cc, DOHC, 16-injap, 4-silinder sebaris
  • Kuasa maksimum: 95.2 hp @ 12,000rpm (47 hp – A2)
  • Tork maksimum: 63Nm @ 9,500rpm
  • Transmisi: 6-kelajuan, klac A.S. atau E-Clutch (pilihan)
  • Rangka: Keluli berlian 
  • Suspensi hadapan: Showa 41 mm SFF-BP USD fork
  • Suspensi belakang: Tunggal, boleh laras 10 tahap pramuatan
  • Brek hadapan: Dua cakera 310 mm, angkup 4-omboh radial, ABS dua saluran
  • Brek belakang: Cakera tunggal 240mm, ABS dua saluran
  • Tayar hadapan/belakang: 120/70-ZR17 / 180/55-ZR17
  • Berat: 209kg (manual) / 211kg (E-Clutch)
  • Ketinggian tempat duduk: 810 mm
  • Tangki bahan api: 15.4L
  • Penggunaan bahan api: 20.4km/L (WMTC)
  • Sambungan: Honda RoadSync + skrin TFT 5 inci
Google ads
Back to top button