Buletin

PROTON e.MAS 5 TERIMA LEBIH 3,000 TEMPAHAN, e.MAS 7 KEKAL PILIHAN UTAMA

PRO-NET, anak syarikat PROTON, meraikan satu lagi pencapaian penting apabila model terbaharunya, Proton e.MAS 5, berjaya mengumpul lebih 3,000 tempahan sejurus selepas dibuka kepada orang ramai, termasuk 1,607 tempahan dalam tempoh 24 jam pertama.

Kejayaan ini hadir selepas sambutan luar biasa terhadap Proton e.MAS 7, yang terus mengekalkan kedudukannya sebagai kenderaan elektrik (EV) nombor satu di Malaysia bagi sembilan bulan berturut-turut.

Setakat 30 September 2025, jumlah jualan kumulatif e.MAS 7 telah mencecah 6,655 unit, terdiri daripada 6,212 unit jualan tempatan dan 443 unit eksport, sekali gus memberi model itu penguasaan pasaran EV sebanyak 24 peratus.

EV Mampu Milik Dengan Ciri Premium

Proton e.MAS 5 bakal menjadi EV segmen-B pertama di Malaysia yang dijual pada anggaran harga antara RM60,000 hingga RM80,000.

Walaupun pada harga berpatutan, ia hadir dengan pelbagai teknologi moden dan tahap keselesaan setanding model dalam kategori harga lebih tinggi.

Dari segi prestasi, e.MAS 5 menawarkan jarak pemanduan sehingga 325km (WLTP) dan menyokong pengecasan pantas, menjadikannya sesuai untuk penggunaan bandar dengan kos penyelenggaraan yang jauh lebih rendah berbanding kenderaan petrol.

Kini Di Bilik Pameran Mulai 17 Oktober

Orang ramai boleh melihat dan mencuba sendiri Proton e.MAS 5 di bilik pameran Proton e.MAS di seluruh negara bermula 17 Oktober 2025.

Tempahan kini dibuka dengan bayaran hanya RM99, sama ada melalui laman web rasmi Proton e.MAS atau di mana-mana 30 pengedar sah di seluruh Malaysia.

Sebagai galakan kepada pelanggan terawal, PRO-NET menawarkan ganjaran eksklusif kepada 5,000 pendaftar pertama, termasuk:

  • Kad Proton e.MAS Touch ‘n Go NFC edisi terhad bernilai RM100 (praisi), dan
  • Rebat RM500 untuk yuran tempahan.

(Tertakluk kepada terma dan syarat)

Dengan momentum kukuh yang dicetuskan oleh e.MAS 7 dan sambutan luar biasa terhadap e.MAS 5, PROTON kini berada di landasan tepat untuk memacu transformasi industri automotif tempatan ke arah masa depan elektrik sepenuhnya.

Google ads
Back to top button