" "
Buletin

SUZUKI JIMNY GAGAL UJIAN MOOSE – NASIB BAIK TAK TERBALIK

Sebagaimana yang kita ketahui, SUV kompak Suzuki Jimny mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. Dengan fleksibiliti custom yang mampu ditawarkannya, kegilaan terhadap SUV tersebut memang sukar untuk dinafikan. 

Biarpun begitu, Jimny nampaknya mempunyai satu kelemahan ketara iaitu menukar haluan pada kelajuan tinggi.

Situasi ini bagaimanapun sudah boleh dijangka berikutan rekaan badannya yang agak tinggi dan ‘kurus’. Binaan badan-atas-kerangka itu juga menjadi penyumbang utamanya.

Bagi membuktikan keupayaan Jimny, pengendali akaun YouTube km77 melakukan ujian Moose. Dapat dilihat dengan jelas bahawa sistem kestabilan elektronik terpaksa bekerja keras demi memastikan jentera ini tidak terbalik. 

Seperti yang dijangka, Jimny kerap melanggar kon yang disusun ketika menukar haluan, biarpun kelajuannya cuma di bawah 77km/j. 

Penguji menyatakan terdapat dua masalah utama pada Jimny. Pertama, rak sterengnya terlalu panjang, maka pemandu tidak boleh memberi input yang pantas ketika melakukan ujian Moose.

Harus tahu bahawa ujian tersebut direka untuk membuatkan anda perlu mengelak halangan yang muncul secara tiba-tiba di hadapan. 

Kedua, cengkaman tayar juga kurang meyakinkan. Situasi itu diburukkan lagi dengan olengan badan dan penggunaan suspensi yang agak lembut. Kombinasi itu menyebabkan Jimny cenderung untuk understeer, walaupun pada kelajuan rendah iaitu sekitar 68km/j dalam video ini. 

Kita dapat lihat sistem kawalan kestabilan memperlahankan kenderaan bagi mengelakkannya daripada terbalik. 

Jimny juga tidak berapa cemerlang dalam ujian slalom, sesuatu yang sudah dijangka. 

Biar apa pun kelemahan yang ditunjukkan oleh Jimny, saya yakin masih ramai yang mahu memiliki. Jadi, beli sahaja, custom dan bawa dengan perlahan. Insya Allah anda selamat.  

Google ads
Back to top button