Buletin

SUZUKI JIMNY VERSI ASIA TENGGARA AKAN DILANCARKAN DI THAILAND – HARGA RM168K – RM206K!

SUV kompak terkenal Suzuki, Jimny sah akan dilancarkan pada acara Bangkok Motor Show 2019 hujung bulan ini.

Itu bukanlah berita yang mengejutkan. Apa yang membuatkan ramai tercekik ialah harga yang ditawarkannya.

Untuk memiliki sebuah Jimny, anda perlu mengeluarkan wang bermula RM168,000 hingga RM206,000. Hah, siapa kata harga kereta di Malaysia sahaja yang mahal?

Berbanding generasi terdahulu, Jimny yang menerima perubahan drastik selepas 20 tahun berada di pasaran sememangnya menjadi pilihan popular dalam kalangan peminat modifikasi.  

Model yang dibawa terus dari Jepun itu ialah daripada versi Jimny Sierra yang dikatakan bersaiz lebih besar.

Jimny dikuasakan oleh enjin K15B aspirasi biasa bersesaran 1.5 liter yang mampu menjana 102PS dan tork puncak 130Nm. Enjin yang turut digunakan oleh Suzuki Ertiga itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dan empat kelajuan automatik.

Tampil dengan reka bentuk retro dan maskulin, SUV itu menjanjikan prestasi terbaik di atas laluan off-road. Terima kasih kepada penggunaan platform yang tegar dan ringan.

Pemandu boleh menukar pacuan pemanduan di antara 2H, 4H dan 4L menerusi transfer case.

Google ads
Back to top button