Buletin

SUZUKI JIMNY LAKU KERAS DI UK – TEMPOH MENUNGGU SETAHUN, SUDAH TIDAK TERIMA DEPOSIT

Jimny baharu dilihat menjadi model terlaris Suzuki di UK apabila semakin ramai membuat tempahan.

Permintaan yang memberangsangkan itu membuatkan tempoh menunggu berlanjutan sehingga setahun.

Walaupun Suzuki UK telah memperuntukkan 1,200 unit Jimny untuk tahun 2019, beberapa pengedar Suzuki terpaksa menolak daripada menerima deposit pelanggan.

Suzuki UK memberitahu antara sebab utama kenapa mereka gagal untuk memenuhi permintaan buat masa sekarang adalah kerana kekangan pengeluaran di kilang Suzuki di Kosai, Jepun.

Permintaan terhadap Jimny di Jepun juga agak tinggi berikutan insentif kei-kar yang diterimanya. Suzuki dilapor terpaksa menghadkan jualan Jimny di Eropah kerana tidak mahu melepasi tahap purata emisi CO2. Jika lebih, Suzuki bakal berdepan denda yang tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Suzuki berjanji akan menambah peruntukan Jimny kepada 2,000 unit di UK bagi tahun 2020.

Ia juga memberi bayangan bahawa Jimny baharu bakal dipasang dengan enjin lebih bersih seperti 1.0 liter Boosterjet atau memulakan produksi di kilang kedua (mungkin di India) demi memenuhi permintaan.

Pelanggan pertama Jimny di UK akan menerima kenderaan tersebut pada Januari depan.

Google ads
Back to top button