TAMBAH KUASA FORD FIESTA ST GUNA APLIKASI TELEFON PINTAR
Kagum dengan kereta yang bercakap, brek automatik dan stereng dipusing tanpa bantuan manusia?
Terima kasih kepada kemajuan teknologi hari ini seperti radar dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mudah dan murah untuk diperolehi.
Selain itu banyak teknologi hari ini dibolehkan kerana sambungan internet yang semakin pantas dan meluas.
Satu lagi teknologi yang dibolehkan melalui sambungan internet dan kepantasan pemprosesan ialah aplikasi untuk menambah kuasa kereta.
Iya, kuasa ditambah tanpa bonet enjin dibuka dan juga tanpa kabel atau komputer peribadi.
Melalui aplikasi mountune dan pakej m255 untuk Ford Fiesta ST, kuasa dan tujahan enjin berjaya ditingkatkan tanpa implikasi keselamatan atau ketahanan.
Naik taraf baharu ini yang turut dilancarkan bersama aplikasi mTune SMARTflash membolehkan pengguna memasang dan mengubah kalibrasi kenderaan dalam masa beberapa minit sahaja menggunakan telefon pintar mereka.
Untuk menggunakan talaan ini, pengguna perlu melengkapi Fiesta ST mereka dengan antara muka OBD yang mempunyai fungsi Bluetooth.
Sistem aplikasi telefon pintar mTune SMARTflash direka untuk pengguna mengubah talaan kereta secara ringkasi dan pantas.
Selain mengubah talaan kereta kepada tahap berbeza, pemilik juga boleh mengemaskini kenderaan mereka dengan kalibrasi terkini terus daripada mountune.
Aplikasi ini didatangkan bersama pembaca VIN dan identiti kalibrasi untuk pengesahan kenderaan.
Berapa kuasa yang ditambah? Berikut ialah butirannya:
- Ford Fiesta ST dilengkapi enjin 1.5 liter 3 silinder EcoBoost
- Kuasa sedia ada bertambah 26PS dan 55Nm kepada 225PS dan 340Nm
- Tujahan enjin turut dirasai lebih awal dan merentasi kuasa rpm dengan perbezaan serta-merta
- Pecutan lebih pantas dengan pecutan dari 0 – 96 km/j di bawah 6 saat (pecutan standard ialah 6.5 saat)
Berikut pula ialah ciri-ciri talaan pada pakej mountune m225:
- 3 perubahan talaan dalam dua tetapan iaitu Performance dan Stock Performance
- Tetapan Performance menaikkan kuasa dan tujahan dengan kawalan pelancaran (launch control) lebih agresif dan bunyi ekzos lebih kuat dalam mod Sport/Track
- Tetapan Stock Performance pula mengembalikan kalibrasi kenderaan kepada standard dan fungsi Anti-Theft bagi melindungi kenderaan (immobilizer)
Berikut ialah pakej mountune m225:
- SMARTflash EVI Bluetooth dengan penyesuai (adapter) OBD
- Aplikasi mTune SMARTflash untuk sambungan sistem operasi Android dan Apple
- Tiga tetapan kalibrasi iaitu Performance, Stock dan Anti-Theft
- Induksi (kemasukan) udara lebih pantas
- Logo mountune
- Bekas simpanan mountune
mountune bukan calang-calang jenama dan syarikat ini telah beroperasi dalam bidang peralatan prestasi selama lebih daripada 35 tahun.
mountune fokus dalam peralatan kenderaan Ford sama ada untuk kegunaan di jalan raya atau litar lumba.
mountune beroperasi di ibu pejabat di Brentwood, Essex dan mempunyai fasiliti di Los Angeles, California.
Ford Fiesta ST pernah dipasarkan di pasaran tempatan pada tahun 2014 dengan harga sekitar RM 150,000.
- BACA: FORD FIESTA SPORT VAN – APABILA KERETA JADI VAN KARGO!
- BACA: FORD FIESTA ST 2018 – 3 SILINDER, 200PS!
- BACA: SELAMAT TINGGAL FORD FOCUS RS – INI MODEL TERAKHIR SEBELUM PRODUKSI TAMAT