Buletin

FORD FIESTA ST 2018 – 3 SILINDER, 200PS!

Biarpun acara Geneva Motor Show 2017 hanya akan berlangsung beberapa minggu lagi, Ford nampaknya sudah tidak sabar untuk mendedahkan senjata baru mereka, Firsta ST 2018.

Jentera kompak berprestasi tinggi itu kini menggunakan khidmat enjin 1.5 liter yang baru dibangunkan. Enjin tiga silinder EcoBoost tersebut didakwa berupaya menghasilkan kuasa mencecah 200PS (197 HP) dan tork 290Nm.

Sekali gus membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 6.7 saat, 0.2 saat lebih pantas berbanding generasi terdahulu.

Pemandu boleh menukar tiga mode pemanduan iaitu Normal, Sport dan Track. Mode tersebut membolehkan konfigurasi enjin, stereng dan kawalan kestabilan diubah untuk disesuaikan dengan kondisi di jalan raya biasa atau litar perlumbaan.

Lebih menarik lagi, Fiesta ST turut menampilkan satu ciri yang Ford dakwa sebagai pertama dalam industri. Sistem penyahaktifan silinder itu dikatakan dapat menjimatkan penggunaan bahan api terutama ketika kapasiti penuh enjin tidak diperlukan. Ia juga berfungsi menurunkan emisi kepada 114 g/km.

Sistem tersebut boleh dinyahaktif dan diaktifkan semula satu silinder dalam tempoh empat milisaat atau 20 kali lebih pantas daripada kerlipan mata.

Dengan menggunakan chasis yang ditala oleh Ford Performance, Fiesta ST merupakan jawapan kepada pesaing lain seperti Renault Clio RS, Opel/Vauxhall Corsa OPC/VXR dan Volkswagen Polo GTI.
Fiesta ST didatangkan dalam varian tiga dan lima pintu. Penampilan luarannya cukup  menyerlah menerusi gril mesh, bampar baharu depan belakang, spoiler belakang dan rim aloi bersaiz 18 inci dengan rekaan berbeza.

Di ruang kabin, hot hatch segmen B itu dipasang dengan tempat duduk Recaro dan stereng rata pada bahagian bawahnya. Pelanggan juga boleh memilih beberapa kemasan khas pada stereng, tuil gear, selak pintu dan papan pemuka.

Jentera itu menggunakan sistem infotaimen terkini Ford SYNC 3 bersama skrin paparan bersaiz lapan inci. Ciri-ciri lain termasuklah arahan suara, sistem navigasi serta ketersambungan telefon pintar melalui Android Auto dan Apple CarPlay. Sistem audio pula daripada B&O Play Sound System.

Ford merancang untuk melancarkan Fiesta ST generasi baru ini pada awal tahun 2018. Harganya bakal diumumkan nanti.

BACA: 5 SEBAB KENAPA FORD FIESTA ST MENGUJAKAN

BACA: KUASA FORD FIESTA ST200 

GALERI 

Google ads
Back to top button