" "
Buletin

TEMPAHAN KIA SPORTAGE CKD KINI DIBUKA, BAKAL DILANCARKAN DI KLIMS 2024

Dinamikjaya Motors (DJM) bakal melancarkan Kia Sportage generasi kelima versi pemasangan tempatan (CKD) di Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024).

Pelancaran ini mencatat sejarah tersendiri sebagai SUV segmen C pertama Kia yang dipasang secara tempatan di Malaysia.

DJM memilih untuk melancarkan Kia Sportage CKD ini berbanding model facelift yang hanya tersedia di Korea buat masa ini. Keputusan ini dibuat kerana model CKD ini menawarkan kelebihan harga yang sangat kompetitif.

Selain itu, DJM turut memberikan nilai tambah kepada pembeli melalui pakej lima tahun penyelenggaraan percuma serta waranti lima tahun.

Sementara, model facelift pula dijangka hanya akan tiba di pasaran Malaysia dalam tempoh dua tahun lagi, dengan kemungkinan peningkatan harga. 

Kia Sportage CKD baharu ini hadir dengan reka bentuk lebih segar dan moden, teknologi yang lebih canggih, serta ciri keselamatan ditambah baik.

Di bahagian dalaman, teknologi canggih seperti sistem infotainmen beresolusi tinggi dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dipadankan dengan kluster digital 12.3-inci, memberikan pengalaman pemanduan lebih intuitif.

Bukan itu sahaja, beberapa varian turut dilengkapi ciri seperti pencahayaan ambien, kawalan suhu dwi-zon, dan sistem audio premium Harman Kardon.

Dari segi kuasa, ia hadir dengan dua pilihan kuasa, iaitu enjin 2.0L Smartstream dan 1.6L Turbo Gamma II.

Nadi 2.0L Smartstream menghasilkan 156hp @ 6,200rpm dan 192Nm, transmisi automatik 6-kelajuan, manakala 1.6L Turbo Gamma II menghamburkan 177hp @ 5,500rpm dan 265Nm, dipadankan bersama transmisi dual clutch 7-kelajuan.

Selain itu, Sportage CKD ini turut dilengkapi sistem keselamatan terkini seperti:

  • Forward Collision-Avoidance Assist (FCA)
  • Lane Keeping Assist (LKA)
  • Blind-Spot Collision-Avoidance (BCA)
  • Rear Cross-Traffic Collision Avoidance (RCCA)

Pra-tempahan untuk Kia Sportage CKD ini kini telah dibuka di semua bilik pameran Kia di seluruh negara, manakala harga rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.kia.com/my/main.html

GALERI:

Google ads
Back to top button