Buletin

INI 4 MODEL CKD PADU YANG WAJIB ANDA TUNGGU DARIPADA KIA MALAYSIA

Selepas dilihat sebagai kurang berjaya di pasaran tempatan, Kia berazam untuk kembali bangkit dengan memperkenalkan model-model baharu yang menarik serta pihak pengurusan lebih mantap. 

Dalam satu sidang media yang diadakan malam semalam, jenama Kia yang kini diwakili oleh Kia Malaysia, Dinamikjaya Sdn Bhd. sebagai pengedar mendedahkan empat model yang bakal dipasang tempatan (CKD). Jentera berkenaan bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah akan dieksport ke negara-negara jiran. 

Carnival 

MPV bersaiz penuh ini akan menjadi model pertama dipasang di kilang Kia di Malaysia pada April 2022. Carnival membuat penampilan pertamanya pada acara Carlist Drive Auto Fair 2021 baru-baru ini. 

Carnival dilapor bakal ditawarkan pada harga bermula RM196,340 seunit dan mungkin hadir dalam satu varian 11 tempat duduk terlebih dahulu. Model dengan kapasiti tujuh dan lapan tempat duduk akan ditawarkan kemudian. 

MPV mewah itu dikuasakan oleh enjin diesel turbo Smartstream generasi baharu bersesaran 2.2 liter yang mampu menjana 199hp dan tork 440Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan. 

Rangkaian kuasa tersebut menawarkan penggunaan bahan api sekitar 6.5 liter bagi setiap 100km. Bagi sebuah kenderaan sebesar itu yang boleh membawa ramai penumpang, ia memang sangat menjimatkan. Kia Malaysia turut merancang untuk menawarkan model Carnival hibrid pada tahun 2024. 

Sorento 

SUV yang lebih kecil daripada Telluride ini akan menjadi model kedua dipasang tempatan (CKD) oleh Kia Malaysia pada tahun 2022. Ia akan ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), selain pilihan hibrid dan PHEV pada masa depan.

Masih belum dapat dipastikan apakah enjin yang akan dipasang pada jentera dengan kapasiti tempat duduk 5+2 itu. Namun, bagi pasaran luar negara, Sorento hadir dengan pilihan enjin turbo diesel bersesaran 2.2 liter berkuasa 222PS dan tork 440Nm atau enjin petrol turbo 2.5 liter dengan kuasa 180PS/265Nm. 

Manakala enjin turbo 1.6 liter turbo yang dipadankan bersama sistem hibrid pula mampu menghasilkan kuasa sekitar 230PS dan tork 350Nm. 

Luaran Sorento nampak maskulin dengan rekaan berkotak bersama gril berwarna dan sepasang lampu utama LED. Sementara susun atur ruang kabin nampak moden dengan penggunaan skrin sentuh bersaiz 10.25 inci, panel instrumen LCD 12.5 inci dan tuil gear rotari elektronik. 

Sportage 

SUV kompak popular itu dijangka dipasang di Malaysia pada tahun 2023 dengan pilihan enjin ICE dan hibrid setahun kemudian. 

Sportage tampil dengan rekaan serba baharu yang lebih menarik bersama penggunaan lampu Matrix LED, lampu DRL LED berbentuk boomerang dan lampu belakang LED. Ruang kokpit pula dihuni oleh skrin bersaiz 12 inci yang membentuk kluster instrumen dan skrin sentuh untuk sistem infohibur.

Dari segi keselamatan, ia dilengkapi teknologi Advanced Driver Assistance System (ADAS). Selain ciri kawalan jelajah pintar, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Blind-Spot View dan banyak lagi. 

Niro 

Niro dijadual memasuki barisan pengeluaran pada tahun 2023. Sebagai sebuah kenderaan yang membawa misi elektrifikasi Kia, ia akan ditawarkan dalam bentuk hibrid, PHEV atau elektrik sepenuhnya (EV). Dibina berdasarkan model konsep HabaNiro 2019, Niro menyerlahkan bahasa rekaan Opposites United.

Wajahnya nampak garang dengan rekaan lampu utama dan lampu DRL yang tidak konvensional. Jentera moden itu masih mengekalkan identiti Tiger Face, tetapi dengan rekaan yang lebih kompleks. Bahagian belakang pula nampak berbeza dengan rekaan lampu yang bersambung hingga ke ruang sisi bumbung. 

Ruang dalaman direka kemas dengan skrin dihalakan ke arah pemandu. Konsol tengah dihuni oleh butang rotari untuk menukar kedudukan gear. 

Niro dilengkapi satu ciri menarik dikenali sebagai Greenzone Drive Mode. Mode itu berfungsi menukar mode pemanduan semasa kepada EV apabila dipandu ke kawasan yang dikenalpasti sebagai zon hijau. Ia juga didatangkan dengan fungsi memori lokasi kegemaran pemandu. 

Google ads
Back to top button