Buletin

ADRIEN FOURMAUX KINI SEDANG DIINTAI PASUKAN UTAMA WRC MUSIM HADAPAN

Nasib dan rezeki pemandu rali dari Perancis Adrien Fourmaux untuk kempen FIA World Rally Champiobnship (WRC) musim hadapan tampaknya semakin cerah apabila beliau kini sedang berkira – kira memilih pasukan manakah yang akan diwakili kelak.

Dalam situasi yang jarang berlaku, Adrien Fourmaux yang berusia 29 tahun telah mendedahkan bahawa beliau kini telah dilamar oleh pasukan teratas dalam kempen WRC musim hadapan sekali gus meningkatkan reputasi beliau dalam sukan rali ini.

Untuk rekod, Adrien Fourmaux telah menjadi sebahagian daripada tonggak utama barisan  pemandu untuk pasukan M-Sport Ford sejak  dari tahun 2020 dengan beraksi  dalam kelas utama dan juga WRC2. Selepas membuat penampilan sulungnya di kelas teratas dengan jentera Ford Fiesta WRC, Adrien Fourmaux kini memandu Puma Rally1 Hybrid bersama Juruarah Alex Coria.

Musim ini, Adrien Fourmaux berjaya mempamerkan suatu pemanduan yang cukup menyakinkan bersama pasukan M-Sport Ford. Empat podium serta beberapa kali kemenangan di peringkat perlumbaan sudah cukup untuk menarik minat dua pasukan utama, Hyundai Motorsport atau pun Toyota Gazoo Racing musim hadapan. Tidak ketinggalan sudah semestinya pasukan M-Sport sendiri yang pastinya mahu mengekalkan khidmat beliau buat sekian kalinya.

Menurut Adrien Fourmaux, beliau membuat Keputusan dengan menggunakan akal lebih daripada hati kerana matlamat beliau adalah jelas, mahu menjadi juara dunia. Dan beliau sesungguhnya mahu mencari jalan yang terbaik untuk mencapainya.

Apa yang pasukan M-Sport Ford lakukan dengan sumber yang terhad adalah cukup luar biasa dan cemerlang. Cuma persoalannya adakah ianya mencukupi?

Menurut Adrien Fourmaux lagi, pasukan Hyundai Motorsport telah menawarkan kerusi untuk memandu penuh bagi musim 2025 bersama jentera Hyundai i20 N Rally1 yang pastinya cukup menarik untuk diterima.

Pasukan Toyota Gazoo Racing juga mahu menawarkan tempat duduk untuk jentera Toyota GR Yaris Rally1 mereka tetapi hanya hanya untuk separuh musim sahaja yang pastinya amat mudah untuk beliau menolak tawaran tersebut.

Dan dalam masa yang sama, M-Sport Ford juga mahu mengekalkan khidmat beliau bagi musim 2025 nanti tetapi beliau masih menantikan tawaran rasmi.

Dengan perlumbaan terakhir akan berlangsung pada minggu hadapan, pastinya pengumuman penuh senarai barisan pemandu akan mula diumumkan selepas berakhirnya FORUM8 Rally Japan.

BACA : ADRIEN FOURMAUX SIKIT LAGI NAK JADI DOKTOR, TETAPI AKHIRNYA MEMILIH SEBAGAI PEMANDU RALI

BACA : ADRIEN FOURMAUX ADALAH JUARA BRITISH RALLY CHAMPIONSHIP 2023



Google ads

B K

Back to top button