THAILAND HATI-HATI PERKENALKAN CUKAI BAHARU MODEL ICE, BOLEH GUGAT PASARAN
Thailand sedang mempertimbangkan semula strategi cukai terhadap kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) ketika berusaha menyeimbangkan pertumbuhan pasaran kenderaan elektrik (EV).
Timbalan Menteri Kewangan, Paophum Rojanasakul, menyatakan kerajaan bercadang melaksanakan sistem cukai baharu selepas 2026.
Sistem ini memihak kepada EV dengan cukai rendah 2 peratus, manakala kenderaan ICE, terutamanya yang mengeluarkan lebih 200 gram CO2/km, bakal dikenakan cukai eksais sehingga 38 peratus.
Walaupun peralihan kepada EV dianggap penting untuk pengurangan pelepasan karbon, kerajaan mengakui cabaran ekonomi yang bakal timbul.
“Kenaikan cukai mendadak boleh menggugat pasaran dan menyebabkan kehilangan pekerjaan,” jelas Paophum.
Beliau menegaskan pentingnya pendekatan beransur untuk mengekalkan kestabilan dalam sektor automotif yang kini banyak bergantung pada pengeluar Jepun, berbanding sektor EV, diterajui syarikat China.
Pertumbuhan EV di Thailand mencatatkan lonjakan 684 peratus pada 2023, dengan 76,314 unit dijual.
Namun, jualan pada 2024 dijangka menyusut kepada 74,664 unit. Situasi ini mencerminkan cabaran global dalam pasaran EV, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat, yang turut menunjukkan penurunan.
Kerajaan berpendirian fleksibel untuk menyesuaikan strategi bergantung kepada trend global, sama ada EV atau hibrid bakal mendominasi.
Pendekatan ini bertujuan memastikan Thailand kekal kompetitif tanpa menjejaskan ekonomi, pekerja, dan pengguna di tengah-tengah transformasi automotif dunia.