
GEELY ICON COWBOY DIPERKENALKAN DI CHINA – TAMPIL LASAK DAN PRAKTIKAL, HARGA RM60K
Geely Auto memperkenalkan varian terbaru SUV kompak mereka, Geely Icon Cowboy, pada Guangzhou Auto Show 2024.
Model ini membawa sentuhan lasak dengan beberapa ciri baharu yang direka khas untuk memberi penampilan lebih ranggi dan praktikal, sesuai untuk gaya hidup pengembaraan ringan di kawasan bandar.
Antara perubahan utama pada Cowboy berbanding model asal Icon termasuk bampar baharu, pelindung sisi yang lebih besar, serta lapisan plastik tambahan di sekeliling lengkungan roda.

Untuk menambah elemen praktikal, ia turut dilengkapi rak bumbung dengan lampu LED terintegrasi dan rim aloi unik bersaiz 17-inci.
Di bahagian belakang, kelihatan seperti pemegang tayar gantian, tetapi sebenarnya ia adalah ruang penyimpanan untuk barang basah atau kotor.
Ciri tambahan lain termasuk kotak aksesori yang dipasang pada tiang-C, mengingatkan pada reka bentuk Land Rover Defender.
Cowboy hadir dalam empat warna menarik:
- Snow White
- Jungle Green
- Volcanic Gray
- Desert Brown
Geely Cowboy mempunyai dimensi 4,442mm panjang, 1,860mm lebar, dan 1,770mm tinggi, menjadikannya sedikit lebih tinggi berbanding Toyota Corolla Cross.

Bahagian dalamannya menampilkan kluster instrumen digital 8.8-inci, paparan infotainmen 14.6-inci, dan 42 ruang simpanan, menjadikan kabin lebih praktikal untuk pelbagai kegunaan.
Model ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter tiga silinder turbo yang menghasilkan 178PS dan 290Nm tork.
Walaupun memiliki reka bentuk lasak, Cowboy menggunakan sistem pacuan roda hadapan yang digandingkan dengan transmisi automatik dual-klac tujuh kelajuan.
Menariknya, Cowboy dijual pada harga (RM60,500), lebih murah daripada Geely Icon yang berharga (RM61,000).
Geely Cowboy kini hanya ditawarkan di pasaran China, tetapi reka bentuknya yang bergaya dan praktikal ini pasti mencuri perhatian peminat SUV di pasaran antarabangsa.
GALERI:









- BACA: THAILAND HATI-HATI PERKENALKAN CUKAI BAHARU MODEL ICE, BOLEH GUGAT PASARAN
- BACA: ADRIEN FOURMAUX KINI SEDANG DIINTAI PASUKAN UTAMA WRC MUSIM HADAPAN
- BACA: JETOUR X70 PLUS & DASHING: INDONESIA JADI HAB, MALAYSIA TUNGGU GILIRAN?
- BACA: KERAJAAN BERI INSENTIF BAGI PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR PENGECAS EV – MITI

