
TEMPAHAN TOYOTA HILUX, FORTUNER DAN INNOVA FACELIFT KINI DIBUKA. BERMULA RM93K
UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa pihkanya sudah mula mengambil tempahan untuk model facelift Toyota Hilux, Fortuner dan Innova sejak 22 Oktober 2021. Tempahan boleh dibuat di semua bilik pameran rasmi Toyota dan melalui Toyota Online Showroom.
Harga (tanpa insurans) bagi semua model baru berkenaan adalah seperti berikut:
- Toyota Hilux (5 varian) — bermula RM92,880
- Toyota Fortuner (3 varian) — bermula RM169,167
- Toyota Innova (3 varian) — bermula RM115,553
Bagi Fortuner dan Innova, harga ditawarkan dengan pengecualian cukai jualan & perkhidmatan (SST) dengan jualan bermula pada Januari 2022.

Ketiga-tiga model yang merupakan menjadi barisan kenderaan IMV (Innovative International Multi-Purpose Vehicle) telah diberi kemas kini. Ia melibatkan penambahbaikan dari aspek keselesaan dan kelengkapan dengan enjin petrolnya ditala untuk menepati standard kawalan emisi yang lebih ketat lebih awal sebelum pelaksanaan standard Euro4 pada 2022 nanti.
“Barisan kenderaan IMV merupakan kejayaan besar di Malaysia dan pasaran lain di seluruh dunia. Ia menawarkan mobiliti yang boleh diharap dan tahan lasak kepada ramai orang.
“Hilux misalnya, telah menjadi trak pikap paling laris di Malaysia sejak sekian lama. Malah, kami masih menerima permintaan yang lebih tinggi berbanding bekalannya. Walaupun begitu, usah khuatir kerana kilang pemasangan giat berusaha untuk memenuhi tempahan yang masih berbaki, tanpa mengorbankan kualiti,” ujar Presiden UMWT, Ravindran K.

Toyota Hilux
Trak pikap paling laris di Malaysia ini didatangkan dalam lima varian untuk memenuhi keperluan dan bajet pelanggan yang berbeza.
Ia hadir dengan dua pilihan enjin turbodiesel empat-silinder, 2.4 liter dan 2.8 liter. Kedua-dua enjin ditala untuk kecekapan bahan api yang masih boleh dipertingkatkan dengan penggunaan mod ECO.
Varian kabin berkembar iaitu Hilux Rogue 2.8, 2.4 V dan 2.4 E menggunakan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem 4×4. Varian lain, Hilux Double Cab 2.4 G dan Single Cab 2.4 pula dilengkapi transmisi manual enam kelajuan dengan sistem 4×4.
Untuk perjalanan yang lebih selesa dalam Hilux 2.8 Rogue dan 2.4 V, sistem pendingin hawa di depan telah dipertingkat kepada dua zon berbanding zon tunggal sebelum ini.

Toyota Fortuner
Fortuner terkini terus memenangi hati pelanggan dengan kepelbagaian penggunaannya. SUV dengan gaya menarik yang mempunyai ketahanan dan kelasakan untuk menakluk apa juga permukaan jalan dengan ruang kabin luas dan premium yang memuatkan tujuh orang dalam tiga barisan tempat duduk.
SUV saiz sederhana ini hadir dalam tiga varian iaitu Fortuner 2.8 VRZ, Fortuner 2.7 SRZ dan Fortuner 2.4. Berikutan permintaan pasaran yang tinggi, Fortuner 2.4 kini ditawarkan di seluruh Malaysia, bersama Fortuner 2.8 VRX dan 2.7 SRZ.
Bagi versi terkini, pendingin hawa depan Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ dijadikan dua zon untuk membolehkan larasan suhu berasingan antara pemandu dan penumpang depan.
Pad pengecas tanpa wayar untuk telefon hadir sebagai ciri standard pada semua varian. Slot USB belakang pada Fortuner 2.8 VRZ telah ditukar kepada jenis Type C, menjadikannya lebih mudah untuk mengecas telefon pintar generasi terbaru.
Sistem janaan kuasa yang sama dan telah terbukti prestasinya digandingkan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem 4×4. Enjin petrol 2.7 liter telah ditala untuk menepati standard kawalan emisi Euro4.

Toyota Innova
Innova merupakan MPV paling ideal bagi pengguna yang memerlukan lapan-tempat duduk dan ruang barangan yang luas. Sudah memasuki generasi kedua, MPV itu hadir dalam tiga varian iaitu Innova 2.0X, 2.0G dan 2.0E.
Walaupun saiz kabinnya sama, Innova 2.0X didatangkan dengan kerusi kapten saiz besar di tengah.
Dengan senarai kelengkapan standard yang banyak, penumpang Innova boleh duduk selesa sepanjang perjalanan. Bagi yang memiliki telefon pintar, pad pengecasan tanpa wayar kini ada untuk semua varian.
Beberapa slot USB juga disediakan dalam kabin, memudahkan lagi keperluan pengecasan peranti elektronik penumpang. Enjin petrol 2.0 liter yang digunakan oleh ketiga-tiga varian itu juga telah dipertingkat untuk memenuhi piawaian Euro4.
Ketiga-tiga model ini hadir dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan bagi Fortuner dan Innova, selain perbatuan maksimum 150,000km bagi Hilux (tertakluk terma dan syarat).
UMW Toyota Motor juga menawarkan pelbagai pelan pembiayaan, termasuk pelan langganan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza. Tidak ketinggalan, program pajakan dan pembiayaan bagi mereka yang membeli kenderaan untuk tujuan komersial.
Maklumat lanjut, pelanggan boleh layari toyota.com.my atau berkunjung ke mana-manabilik pameran sah Toyota di seluruh negara.