Motosikal

HARLEY-DAVIDSON PAN AMERICA 1250 KINI DI MALAYSIA. 2 VARIAN, V-TWIN 150HP, BERMULA RM99K

Selain Sportster S, Didi Resources turut memperkenalkan Harley-Davidson Pan America 1250 untuk pengguna tempatan.

Dilancarkan buat pertama kali di peringkat global pada Mac lalu, anda sudah boleh membeli jentera adventure pertama Harley-Davidson itu pada harga bermula RM99,000 seunit.

Jika mahukan varian lebih lengkap, pilih sahaja versi Special yang berharga RM115,900. Seperti biasa, harga itu tidak termasuk insurans, cukai jalan dan aksesori yang dipilih.

Pan America 1250 menggunakan enjin sama seperti Sportster S iaitu Revolution Max bersesaran 1,250cc, tetapi dengan talaan berbeza. Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, enjin V-Twin itu mampu menjana kuasa maksimum 150hp dan tork 127Nm.

Enjin dengan sistem penyejukan udara, empat injap bagi setiap silinder dan sistem pemasaan injap boleh ubah itu menawarkan kuasa yang cukup padu untuk anda menyelusuri lebuh raya atau masuk ke laluan off-road.

Perbezaan paling ketara di antara kedua-dua varian itu ialah Special dilengkapi suspensi semi aktif. Ia terdiri daripada suspensi Showa BFF di hadapan dan Showa BFRC di belakang. Sementara model asas menerima fork dan monoshock biasa yang boleh dilaras sepenuhnya secara manual.

Pan America 1250 mempunyai berat 242kg dan versi Special seberat 254kg bersama tangki minyak berkapasiti 21.2 liter.

Jentera itu dipasang dengan brek cakera berkembar bersama angkup Brembo empat piston di depan dan brek cakera angkup satu piston di belakang. Rim 19 inci di hadapan dibalut oleh tayar Michelin Scorcher Rubber bersaiz 120/70, manakala rim 17 inci di belakang menggunakan tayar 170/60.

Sebagai sebuah motosikal adventure moden, Pan America 1250 dilengkapi skrin TFT-LCD 6.8 inci dengan ketersambungan Bluetooth. Semua lampu ialah jenis LED dan jarak kelegaan tanah sekitar 210mm.

Saya sempat berbual dengan boss Harley-Davidson Penang yang lebih dikenali sebagai Seng. Katanya, sambutan terhadap Pan America 1250 sangat memberangsangkan dengan semua unit batch pertama sudah habis dijual.

GALERI

Google ads
Back to top button