Buletin

TOYOTA LANCAR HILUX GR SPORT DI THAILAND. HIGH DAN LOW RIDER, 2.8 TURBO DIESEL, BERMULA RM114K

Sedia maklum bahawa Toyota kini rancak untuk menjenamakan semula TRD kepada GR Sport. Model-model yang telah ditukar menjadi varian GR Sport bagaimanapun berbeza mengikut pasaran. 

Sebagai contoh, pengguna di Malaysia sudah boleh membeli Vios GR Sport. Pelanggan di Indonesia lebih bertuah kerana pilihan yang ada lebih luas melibatkan model Agya, Rush, Yaris, Fortuner dan Avanza. 

Toyota Thailand nampaknya tidak mahu ketinggalan apabila memperkenalkan Hilux Revo GR Sport 4WD. Trak pikap generasi kelapan yang mula diperkenalkan pada tahun 2015 itu hadir dalam dua versi iaitu high-rider serta low-rider.

Hilux Revo GR Sport 4WD diinspirasikan daripada jentera yang terlibat dalam perlumbaan Kejohanan Rali Dunia (WRC). Manakala Hilux Revo GR Sport 2WD pula mengambil DNA Super GT. Dari segi rangkaian kuasa, jentera berkenaan dijana oleh enjin 2.8 liter turbo diesel berkuasa 204PS dan tork 500Nm yang dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. 

Model 4WD dan 2Wd bagaimanapun dibezakan menerusi sistem suspensi, bodykit, peralatan dan sebagainya. Contohnya, Hilux Revo GR Sport 4WD menggunakan suspensi Superfelx yang terdiri daripada double wishbone dengan coil spring dan penstabil pada roda hadapan serta penyerap hentak Monotube di belakang. 

Versi low-rider pula dipasang dengan suspensi yang 23mm lebih rendah. Sekali gus memberikan kualiti pengendalian lebih baik dan tidak terlalu fokus kepada laluan off-road. Dari segi brek pula, kedua-dua varian hadir dengan brek cakera, angkup berwarna merah di hadapan dan brek jenis gelendong di belakang. 

Seperti dijangka, kedua-dua model itu menerima penambahbaikan yang agak signifikan pada bahagian dalaman dan luarannya. Sebagai contoh, Hilux Revo GR Sport 4WD menerima gril hadapan baharu dengan perkataan TOYOTA, enblem GR, serta bampar yang diintegrasikan bersama lampu kabus dan perlindungan pada bahagian bawah badan. 

Ia juga dilengkapi arca roda warna badan, pemijak sisi, pelindung lumpur, sports bar di bahagian belakang serta pelekat pada pintu dan belakang. 

Varian low-rider pula menggunakan rim GR Sport bersaiz 17 inci (18 inci untuk versi high-rider). Selain gril hadapan baharu, perumah cermin sisi berwarna hitam dan enblem GR. 

Ruang kabin dimonopoli oleh tona hitam. Tempat duduk gabungan suede dan kulit dikontraskan dengan jahitan benang merah dan sulaman logo GR pada perehat kepala. Elemen sporty diserlahkan dengan pedal aluminium, penanda merah pada stereng, grafik GR pada kluster instrumen dan butang penghidup enjin. 

Model 4WD dipasang dengan skrin infohibur bersaiz 8 inci (7 inci untuk low-rider). Tidak ketinggalan, sistem keselamatan dengan 7 beg udara, ADAS dan Toyota Safety Sense.  

Pelanggan di Thailand boleh membeli Hilux Revo GR Sport 4WD pada harga 1.29 juta Baht (RM166,483) untuk versi hi-rider. Sementara varian low-rider berharga 889,000 Baht (RM113,936). 

GALERI

Google ads
Back to top button