" "
Buletin

THAI AIRWAYS NAK JUAL 34 PESAWAT

Sebanyak 34 pesawat mililk syarikat penerbangan Thailand, Thai Airways International (THAI) yang muflis dilaporkan ingin dijual merangkumi jenis Boeing dan Airbus.

Pesawat Boeing yang disenaraikan untuk dijual di laman sesawangnya termasuk 10 Boeing 747-400 yang dibuat antara 1993 dan 2003, enam Boeing 777-200 (1996 dan 1998), enam Boeing 777-300 (1998 dan 2000) dan dua Boeing 737-400 (1992 dan 1993).

Selain itu, syarikat penerbangan berkenaan turut menawarkan enam Airbus A340-600 (2005 dan 2008), tiga A340-500 (2005 dan 2007) dan satu Airbus A300-600 dibuat pada 1993.

Dalam kenyataan syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya menjangka dapat menghantar pesawat berkenaan kepada pembeli menjelang suku kedua tahun depan.

Mereka yang berminat membeli pesawat berkenaan boleh berbuat demikian sebelum tarikh akhir iaitu pada 13 November 2020.

Dalam pada itu, THAI tidak menyertakan butiran lain mengenai penjualan pesawat berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan masalah kewangan THAI sejak beberapa tahun lalu, menjadi parah akibat penularan pandemik Covid-19.

Syarikat itu sebelum ini mendapat perintah mahkamah bagi perlindungan kebankrapan sekali gus membolehkan ia melaksanakan pelan pemulihan.

THAI sebelum ini dilaporkan menanggung beban hutang 332 bilion Baht (kira-kira RM45 bilion).

Pelbagai langkah dilaksanakan termasuk mengurangkan tenaga kerja dengan hampir 5,000 kakitangan mengambil opsyen skim persaraan awal.

Dalam pada itu, ketika banyak syarikat penerbangan terpaksa merehatkan pesawat kerana Covid-19, THAI mengambil langkah kreatif dengan membuka restoran di sini bagi menjual hidangan dalam pesawat.

Berikutan sambutan menggalakkan, syarikat itu berhasrat memperkembangkan francais restoran berkenaan. -agensi

Google ads
Back to top button