Buletin

COVID-19: 4,977 KAKITANGAN THAI AIRWAYS INTERNATIONAL MOHON SKIM PEMBERHENTIAN SUKARELA

Seramai 4,977 kakitangan Thai Airways International (THAI) memohon skim pemberhentian sukarela demi kelangsungan syarikat penerbangan itu, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Pemangku presiden THAI, Chansin Treenuchagron, berkata syarikat penerbangan itu menawarkan skim berkenaan kepada kakitangannya ekoran kerugian yang dialami dan kesan ditimbulkan akibat Covid-19. 

Penerbangan penghantaran pulang dan kargo, penjualan makanan katering dan cenderahati THAI tidak berupaya menampung kerugian yang dialami. 

Bermula 19 hingga 28 Oktober, pengurusan syarikat membuka permohonan persaraan awal.

Dalam tempoh itu, 1,918 pekerja memohon untuk bersara pada 1 Disember, sementara 2,699 pekerja ingin menamatkan perkhidmatan dengan 20 peratus bayaran gaji selama enam bulan dari November hingga April sebelum bersara awal; dan 360 pekerja lagi memilih kedua-dua pilihan itu. 

Pemohon menyumbang kepada kelangsungan syarikat penerbangan, kata Chansin. Syarikat penerbangan ini menggaji sekitar 20,000 petugas. – Bernama

Google ads
Back to top button