Buletin

TOYOTA COROLLA CROSS RASMI DILANCARKAN DI THAILAND. 4 VARIAN, BERMULA RM131K

Toyota Motor Corporation (Toyota) hari ini memperkenalkan ahli terbaharu dalam keluarga Corolla.

Dilancarkan secara rasmi di Thailand, Corolla Cross dijangka turut dijual ke pasaran lain sedikit masa lagi. Sama ada ia akan menjengah pasaran Malaysia, masih belum dapat dipastikan.

Pengenalan Corolla Cross adalah berikutan minat pengguna yang terus tinggi terhadap model SUV dan Thailand menjadi negara pertama menerimanya. Ia akan mula dikeluarkan dari kilang Toyota di sana bermula 13 Julai 2020.

Sedia maklum bahawa Toyota mempunyai barisan model SUV seperti C-HR, RAV4, Harrier, Fortuner dan sebagainya.

Corolla Cross ditawarkan dalam empat varian dengan pilihan enjin bersesaran 1.8 liter NA dan hibrid. Harga adalah seperti berikut:

  • Corolla Cross 1.8 Sport: 959,000 baht (RM131,287)
  • Corolla Cross 1.8 Hybrid Smart: 1,019,000 baht (RM139,467)
  • Corolla Cross 1.8 Hybrid Smart: 1,089,000 baht (RM149,048)
  • Corolla Cross 1.8 Hybrid Smart: 1,199,000 baht (RM164,103)

Ia akan bersaing secara langsung dengan SUV kompak seperti honda HR-V, Peugeot 2008, MazdaCX-30 dan Nissan Kicks. Dalam penawaran Toyota, ia diposisikan di antara model C-HR dan RAV4.

Versi hibrid menawarkan kuasa enjin 98PS pada 5,200rpm dan tork 142Nm pada 3,600rpm. Motor elektriknya mampu menjana kuasa 72PS dan tork 162Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear E-CVT.

Model biasa pula dijana oleh enjin 2ZR-FBE berkuasa 140PS dan tork 177Nm yang dipadankan bersama transmisi Super CVT-i.

Rangkaian kuasa tersebut membolehkan varian hibrid menawarkan penggunaan bahan api mengagumkan iaitu 4.3 liter bagi setiap 100km. Sementara varian biasa mencatat penjimatan sekitar 6.5 liter untuk jarak yang sama.  

Pembangunan Corolla Cross berpaksi kepada falsafah “Corolla Meets SUV”. Model itu direka sebagai sebuah SUV jenis baharu yang menggabungkan luaran lasak dan bahagian dalaman yang praktikal demi memenuhi ekspektasi pelanggan.

Jentera itu dibangunkan di atas platform TNGA (GA-C), platform sama yang digunakan oleh Corolla sedan, Prius dan C-HR. Menawarkan kabin dan ruang kargo luas, SUV tersebut dipasang dengan suspensi jenis topang MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang untuk kualiti perjalanan yang lebih selesa.

Jelas dapat dilihat rekaan luaran Corolla Cross banyak diinspirasikan oleh reka bentuk RAV4. Reka bentuk yang berkotak menyerlahkan keupayaannya untuk mengharung apa jua permukaan jalan.   

Ruang kabin memberikan keselesaan kepada pemandu dan penumpang. Bahagian kargo seluas 487 liter itu pasti meningkatkan praktikalitinya. Bukaan pintu yang luas memudahkan urusan keluar masuk.

Posisi pemanduan yang tinggi menawarkan sudut pandangan lebih luas dan mengurangkan titik buta. Dengan nisbah pusingan minimum 5.2 meter, mengendalikan Corolla Cross di laluan sempit nyata lebih mudah.

Prestasi pengendalian dan keselesaan turut disumbang oleh penggunaan suspensi geometri dan bushing yang lembut.

Dari segi keselamatan, sistem Toyota Safety Sense hadir sebagai ciri standard untuk varian hibrid. Ciri seperti Blind Spot Monitor and Rear Cross Traffic Alert pula dipasang pada gred High dan Mid untuk model hibrid.

Aspek kemudahan pula ditingkatkan menerusi ciri kick sensor yang membolehkan pintu belakang dibuka menerusi pergerakan kaki di bahagian bawah bampar, panoramic view monitor dan sistem telematik T-Connect.

Untuk pasaran Thailand, Corolla Cross hadir bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000km. Jaminan untuk sistem hibrid adaalah selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Toyoya juga memberi jaminan bateri hibrid selama 10 tahun, juga tanpa had perbatuan.

Pelanggan diberikan tujuh warna pilihan iaitu hitam, putih, kelabu, merah, biru dan perak.

GALERI

Google ads
Back to top button