Buletin

NISSAN HENTIKAN PRODUKSI TEANA, SYLPHY & X-TRAIL DI THAILAND. MAHU FOKUS MODEL LEBIH KECIL DAN ELEKTRIK

Laporan terkini tentang Nissan Thailand menunjukkan betapa seriusnya kondisi ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara gajah putih itu sekarang.

Ia berikutan eksport automotifnya menjunam teruk sejak 12 bulan lalu, dengan 43 peratus pada Jun sahaja. Peneraju industri dilihat cuba untuk memacu pertumbuhan kereta elektrik, tetapi masih belum jelas bagaimana ia mampu menyelamatkan para pekerja daripada hilang pekerjaan.

Kebimbangan tersebut tidak berakhir di situ apabila Nissan Thailand menghentikan jualan dan produksi tiga model popularnya iaitu Teana, X-Trail dan Sylphy di sana.

Sumber yang boleh dipercayai menyatakan Nissan telah menghentikan produksi tiga model tersebut untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Jurucakap Nissan enggan mengiya atau menafikan berita berkenaan. Katanya, Nissan akan memasarkan produk lain di Thailand, terutama kenderaan elektrik.

Jadi, keputusan itu diambil bagi membolehkan Nissan fokus kepada EV dan kereta yang lebih kecil. Di samping model pelbagai guna dan komersial. Nissan juga meneruskan pelan untuk menjadikan Thailand sebagai pusat produksi dan pemasaran kenderaan elektrik.

Langkah yang mengejutkan itu dilihat oleh Kementerian Industri sebagai petanda masa depan yang lebih baik buat Nissan.

Namun, ia juga mencetuskan kebimbangan seperti yang berlaku pada 1 Ogos tahun lalu apabila General Motors mengumumkan pemberhentian jualan kenderaan jenama Chevrolet, sebelum keluar sepenuhnya dari pasaran Thailand pada Februari 2020.

Pada awal tahun ini, Nissan menyatakan komitmen untuk melabur sebanyak 11 bilion baht (RM1.4 bilion) di Samut Prakan dalam usaha merancakkan penghasilan kereta elektrik dan teknologi kereta berautonomi.

Google ads
Back to top button