Motosikal

AP HONDA LANCAR ADV 150 2020 DI THAILAND. 4 WARNA BAHARU, PAPARAN LCD, RM13,446 SEUNIT

AP Honda Thailand baru-baru ini memperkenalkan skuter ADV 150 versi 2020 ke pasaran tempatan. Model baharu itu didatangkan dalam empat warna menarik iaitu hitam, putih mutiara, merah dan kelabu metalik. 

Seperti model terdahulu, ADV 150 tampil dengan rekaan adventure yang garang bersama pelbagai ciri bagi memudahkan pengguna moden. 

Gayaan kini diserlahkan dengan sistem lampu utama LED sepenuhnya dengan lampu nyalaan siang (DRL). Tidak ketinggalan ialah rim aloi berwarna emas atau hitam, bergantung kepada warna badan apa yang anda pilih.   

Aspek keselamatan dipertingkatkan sistem Emergency Stop Signal (ESS) yang akan mengaktifkan lampu isyarat membelok secara automatik apabila brek ditekan keras. Sistem kunci kawalan jauh pula menawarkan fungsi pengesanan dan menghalang insiden kecurian. 

ADV 150 dipasang dengan sistem brek ABS pada roda hadapan untuk memberi cengkaman terbaik dalam apa jua situasi. Manakala pengendalian jentera itu diserahkan kepada suspensi belakang bersama sub-tangki jenama Showa. 

Posisi tunggangan lebih menegak dan selesa, bar hendal yang sedikit lebar membuatkan urusan mengendalikan skuter ini di laluan sibuk semakin mudah. 

Sama seperti model sebelumnya, ADV 150 versi 2020 dikuasakan oleh enjin empat lejang dengan sistem pancitan bahan api PGM-FI eSP dan sistem penyejukan cecair bersesaran 150cc. 

Segala maklumat tunggangan dipaparkan menerusi indikator LCD yang menarik. Penunggang juga boleh melaras ketinggian cermin hadapan mengikut kesesuaian.

Bateri telefon pintar habis? Jangan bimbang kerana ADV 150 ada menyediakan slot pengecas USB pada bahagian ruang kargo yang luas di hadapan.  

Jentera itu ditawarkan pada harga 98,900 baht (RM13,446) dan sudah boleh dibeli di semua pusat Honda Wing seluruh Thailand. 

GALERI

Google ads
Back to top button