Buletin

THAILAND LONGGARKAN SYARAT POLISI EV, FOKUS JANA EKSPORT

Thailand baru-baru ini telah mengumumkan pelarasan kepada dasar insentif kenderaan elektrik (EV) negara.

Langkah ini bertujuan memberi lebih kelonggaran kepada pengeluar kenderaan dalam memenuhi syarat pengeluaran tempatan serta merangsang aktiviti eksport, di sebalik permintaan domestik yang perlahan dan persaingan sengit daripada jenama China.

Dasar asal yang diperkenalkan pada 2022 menetapkan bahawa syarikat automotif dibenarkan mengimport EV tanpa duti, dengan syarat mereka perlu mengeluarkan jumlah kenderaan yang sama di dalam negara menjelang 2024.

Pada 2025 pula, nisbah pengeluaran perlu ditingkatkan kepada 1.5 unit tempatan bagi setiap unit yang diimport.

Namun, dalam pengumuman terbaharu, Lembaga Pelaburan Thailand (BoI) menyatakan bahawa EV buatan tempatan yang dieksport kini turut diambil kira dalam pematuhan kuota tersebut, berbeza dengan dasar sebelumnya yang hanya mengira kenderaan didaftarkan untuk kegunaan domestik.

“Pelarasan ini membolehkan fleksibiliti yang lebih luas kepada pengeluar dan mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab utama pengeluaran EV di rantau ini,” ujar Setiausaha Agung BoI, Narit Therdsteerasukdi.

Thailand, yang kini merupakan ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara, sudah lama menjadi pusat pengeluaran dan eksport utama bagi jenama gergasi seperti Toyota dan Honda.

Namun dalam segmen EV, pengeluar dari China kini mendominasi pasaran tempatan dengan penguasaan lebih 70 peratus jualan, mendorong kerajaan memberi tumpuan kepada insentif jangka panjang seperti rebat cukai, subsidi harga, serta polisi import-produksi yang disesuaikan.

Setakat ini, pelaksanaan dasar EV negara telah menarik pelaburan melebihi AS$4 bilion (sekitar RM18.72 bilion), termasuk daripada syarikat China seperti BYD dan Great Wall Motors.

Tahun lalu, pihak berkuasa turut melanjutkan tempoh syarat pengeluaran tempatan bagi mengelakkan lambakan kenderaan tidak terjual, sejajar dengan permintaan pengguna yang sederhana dalam keadaan ekonomi yang masih lemah.

Dengan penyelarasan baharu ini, BoI menjangkakan eksport EV Thailand boleh mencapai sekitar 12,500 unit pada 2025, dan meningkat kepada 52,000 unit menjelang 2026.

Buat rekod, Thailand telah menghantar keluar 660 unit EV pertama mereka pada April lalu, satu pencapaian penting yang membuka lembaran baharu bagi pasaran eksport EV negara.

Google ads
Back to top button