
CHERY TIGGO CROSS MULA DIPASANG SECARA TEMPATAN DI KULIM, KEDAH
Chery Malaysia kini bergerak ke fasa baharu apabila model SUV terbaharunya, TIGGO CROSS, mula dipasang secara tempatan di fasiliti Inokom yang terletak di Kulim, Kedah.
Model ini ditawarkan dalam dua pilihan trenkuasa iaitu enjin 1.5L Turbo dan varian Hibrid 1.5L CSH, bagi memenuhi keperluan pengguna yang mengutamakan prestasi serta penjimatan bahan api.
Bagi varian hibrid, ia dilengkapi teknologi Chery Super Hybrid (CSH) yang menggabungkan ciri-ciri terbaik dari sistem Plug-in Hybrid (PHEV) dan Hybrid Elektrik (HEV).

Gabungan ini memberikan pengalaman pemanduan yang bertenaga dan lancar di kawasan bandar, sambil menjimatkan penggunaan tenaga melalui peralihan kuasa pintar antara motor elektrik dan enjin petrol.
Dengan keupayaan jarak perjalanan sehingga 1,000km dengan satu isian penuh dan cas bateri, TIGGO CROSS menjadi antara SUV paling efisien dalam kelasnya, menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang mahukan kenderaan berbaloi tinggi untuk penggunaan harian mahupun jarak jauh.
Sebagai salah satu model global utama Chery, TIGGO CROSS bukan sahaja mengukuhkan kehadiran jenama ini di peringkat antarabangsa, malah mencatat sejarah penting apabila unit ke sejuta telah dieksport dari Pelabuhan Dalian, China pada Mac 2025.

Di pasaran tempatan, TIGGO CROSS 1.5 Turbo dijual pada harga bermula RM88,800 (Semenanjung Malaysia), manakala varian Hibrid CSH pula bermula dari RM99,800 (Semenanjung Malaysia).
Pilihan warna juga pelbagai, untuk varian Turbo, pembeli boleh memilih antara Carbon Black, Phantom Grey, Khaki White dan Blood Stone Red.
Manakala untuk varian Hibrid CSH, pilihan termasuk Carbon Black, Phantom Grey, Khaki White serta warna eksklusif Moonlight Silver.







