
TIGERAIR UMUM GULUNG TIKAR SELEPAS 13 TAHUN BEROPERASI
Syarikat penerbangan tambang rendah Australia, Tigerair mengumumkan penutupan rasmi kerana tekanan yang dihadapi syarikat disebabkan Covid-19.
Dalam e-mel yang dihantar kepada pelanggan, Tigerair mengesahkan penutupan dan mencadangkan mereka yang masih mempunyai tiket sah agar menukar menjadi kredit perjalanan untuk penerbangan kendalian syarikat induk, Virgin Australia.
“Tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah masa yang sukar buat semua terlibat dalam industri pengembaraan dan pelancongan.
“Dukacita, setelah hampir 13 tahun beroperasi, satu keputusan sukar terpaksa kami ambil iaitu menamatkan perkhidmatan jenama Tigerair Australia,” kata kenyataan itu.
Tigerair memulakan penerbangan pertamanya di Australia pada 2007 dan membuat keuntungan sejak awal 2010 setelah menawarkan penerbangan tambang rendah di laluan domestik yang popular. Ia dimiliki sepenuhnya oleh Virgin Australia pada 2014.
Walaupun berjaya memperoleh kejayaan awal dalam operasi hampir 13 tahun, Tigerair dan syarikat induknya Virgin Australia telah terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.
Kedua-dua syarikat terpaksa mengambil langkah melantik pentadbir untuk menyelamatkan syarikat menerusi penyusunan semula aset dan liabiliti.
Virgin Australia telah dibeli oleh firma Amerika Syarikat, Bain Capital menerusi perjanjian yang dijangka dimuktamadkan pada akhir Oktober. -Bernama
- BACA: BERJALAN ATAS SAYAP PESAWAT, WANITA DIHARAM NAIK PENERBANGAN UKRAINE INTERNATIONAL AIRLINES
- BACA: SYARIKAT PENERBANGAN TERBESAR AMERIKA LATIN MUFLIS. TANGGUNG HUTANG RM78.4 BILION
- BACA: WARREN BUFFETT JUAL SEMUA SAHAM SYARIKAT PENERBANGAN BERNILAI RM25.7 BILION
- BACA: SINGAPORE ARLINES GROUP BAKAL BUANG 4,300 PEKERJA, PALING RAMAI DALAM SEJARAHNYA