Buletin

NISSAN BUKA PUSAT NISMO PERFORMANCE CENTER DI AUSTRALIA

Jenama prestasi milik Nissan, Nismo, bakal membuka pusat khas Nismo pertama di luar Jepun bagi menyokong peminat model klasik berprestasi tinggi seperti Skyline GT-R di Australia.

Langkah itu sekali gus mengukuhkan lagi hubungan kuat antara negara tersebut dengan sejarah kereta prestasi Nissan.

Pusat pertama dijadual mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2026 di Ferntree Gully, kira-kira 45 minit dari pusat bandar Melbourne.

Lokasi itu akan berfungsi sebagai hab rasmi yang mempunyai hubungan terus dengan kilang legenda Omori Factory di Jepun, termasuk menawarkan alat ganti warisan, kerja restorasi serta khidmat teknikal bertaraf kilang.

Selain Melbourne, Nissan turut merancang membuka beberapa lagi pusat Nismo di bandar utama lain seperti Sydney, Brisbane dan Perth.

Setiap pusat akan dikendalikan oleh juruteknik pakar bertauliah Nismo yang berpengalaman mengendalikan model ikonik seperti Nissan Skyline GT-R R32, Nissan Skyline GT-R R33 dan Nissan Skyline GT-R R34.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Ivan Espinosa, pengembangan jenama Nismo ke pasaran seperti Australia adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk membawa pengalaman pemanduan berprestasi tinggi kepada pelanggan yang menghargai ketulenan dan warisan jenama tersebut.

Kewujudan pusat ini juga dijangka memudahkan pemilik GT-R klasik mendapatkan alat ganti yang dihasilkan semula, termasuk untuk model lama digunakan di Australia atau diimport sendiri dari Jepun oleh peminat tempatan.

Pengumuman rasmi mengenai Nismo Performance Center itu dibuat ketika acara GT-R Festival di Sydney Dragway hujung minggu lalu, yang turut dihadiri Presiden Nissan Motorsports & Customizing serta ketua global Nismo, Yutaka Sanada.

Google ads
Back to top button