Buletin

WARREN BUFFETT JUAL SEMUA SAHAM SYARIKAT PENERBANGAN BERNILAI RM25.7 BILION

Pelabur bilionair, Warren Buffett mengumumkan bahawa beliau telah menjual semua saham dalam empat syarikat penerbangan Amerika Syarikat.

Buffett menerusi firma pelaburannya, Berkshire Hathaway menjual saham American Airlines, Delta Air Lines, Southwest dan United Airlines bernilai lebih AS$6 bilion (RM25.7 bilion).

“Nampaknya saya silap untuk terlibat dalam perniagaan syarikat penerbangan. Saya mungkin silap dan saya harap saya tersilap. COVID-19 telah mengubah sepenuhnya industri ini,” kata Buffett dalam satu mesyuarat tahunan bersama para pengikutnya.

Berkshire Hathaway sebelum ini telah membuat pelaburan mencecah AS$8 bilion (RM34.3 bilion) dan ia dijangka tidak akan mendapat sebarang keuntungan.  

“Apabila kami membeli syarikat penerbangan, kami mendapat keuntungan yang agak menarik. Malangnya, tanggapan saya terhadap perniagaan ini tersilap dan ia bukanlah salah Ketua Pegawai Eksekutif empat syarikat penerbangan ini.

“Menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan,” kata Buffett lagi.

Dalam suku pertama tahun ini, Berkshire Hathaway dilapor mengalami kerugian hampir AS$50 bilion (RM214.8 bilion).

Ia berikutan penjualan saham pada Februari dan Mac ketika wabak COVID-19 pantas menular yang jelas menjejaskan prestasi firma pelaburan berkenaan.

Google ads
Back to top button