Buletin

PROTON DEDAH FOTO RASMI X50. 2 PILIHAN ENJIN, LEBIH CANGGIH DENGAN ADAS 2.0 DAN BANTUAN PARKIR AUTOMATIK

Setelah sekian lama menunggu, model SUV terkini daripada Proton, X50 bakal menemui pengguna Malaysia tidak lama lagi.

Malah, wartawan pemotoran sudah menerima jemputan ke satu acara rebiu ringkas X50 di kilang Proton di Tanjung Malim pada 15 September 2020 (Selasa depan).

Facebook Proton Cars hari ini juga berkongsi tiga foto terkini X50 yang pasti membuatkan semakin ramai orang tidak sabar untuk memilikinya. 

X50 ialah mode SUV kedua yang ditawarkan oleh Proton selepas X70 yang nyata mendapat maklum balas positif daripada pasaran. Jentera tersebut dibina di atas platform B-Modular Architecture (BMA) yang dibangunkan bersama Volvo Cars. Ia dikenali sebagai Geely Binyue di pasaran China. 

SUV kompak tersebut akan bersaing secara langsung dengan model-model seperti Honda HR-V, Peugeot 2008, Subaru XV, Mazda CX-3 dan Toyota CH-R. Harganya pula kami anggarkan sekitar RM80,000 hingga RM95,000 seunit. Ya, tidaklah murah seperti yang ramai harapkan. 

Sehingga kini, Proton tidak mendedahkan sebarang spesifikasi rasmi X50. Namun, berdasarkan kepada laporan rakan media kami, Pandulaju, X50 bakal ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. 

Pelanggan boleh memilih antara dua enjin tiga selinder, sama ada 1.5 liter turbo berkuasa 148hp atau 1.5L TGDI yang mampu menjana kuasa 175hp. Kedua-dua enjin yang sama digunakan pada Volvo XC40 itu kemudian dipadankan bersama kotak gear klac berkembar 7 kelajuan. 

Untuk menjadikan X50 lebih menarik, Proton melengkapkannya dengan ciri Bantuan Parkir Automatik (APA), pertama untuk model Proton. Ciri ini membolehkan kereta diparkir secara automatik dengan hanya menekan butang APA. 

Bukan itu sahaja, X50 juga dikatakan bakal dilengkapi teknologi bantuan pemandu termaju ADAS 2.0. Ia merupakan versi tambah baik berbanding ADS 1.0 yang kini digunakan pada X70. ADAS terdiri daripada ciri Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Pelanggaran Depan (FCW), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan banyak lagi.

Ya. Tawaran terbaharu daripada Proton ini cukup menarik. Nantikan laporan seterusnya daripada team Mekanika. Tak lama dah, minggu depan ni jer…

Google ads
Back to top button