
MITSUBISHI PAJERO BAHARU TAMPIL LEBIH LASAK DENGAN 20 AKSESORI KHAS
Mitsubishi Motors memperkenalkan rangkaian 20 aksesori rasmi untuk SUV Pajero generasi baharu yang dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan pemanduan lasak, khususnya di kawasan pedalaman Australia.
Model berkenaan dijadualkan memasuki bilik pameran di Australia bulan depan, dengan kelengkapan tambahan yang direka untuk menghadapi pelbagai keadaan jalan termasuk laluan berbatu, permukaan tidak berturap serta perjalanan jarak jauh.
Menariknya, pembangunan aksesori tersebut sudah dimulakan seawal 2022, beberapa tahun sebelum Pajero baharu diperkenalkan pada September 2026.
Pasukan kejuruteraan Mitsubishi di Australia turut bekerjasama dengan jurutera tempatan serta pusat penyelidikan dan pembangunan syarikat di Okazaki, Jepun bagi memastikan setiap aksesori memenuhi keperluan pengguna tempatan.

Kerjasama sejak peringkat awal pembangunan membolehkan Pajero baharu dilengkapi titik pemasangan dan pendawaian khusus untuk menyokong penggunaan pelbagai aksesori, termasuk komponen perlindungan badan serta sistem penundaan.
Antara kelengkapan utama ialah Front Protection Bar yang ditawarkan dalam dua pilihan, iaitu versi dengan gelung pelindung dan tanpa gelung. Komponen ini direka untuk melindungi bahagian hadapan kenderaan, termasuk gril dan lampu utama daripada serpihan batu serta hentaman kecil.
Reka bentuknya turut mengambil kira kedudukan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) supaya tidak mengganggu operasi sensor keselamatan kenderaan.
Pilihan aksesori lain merangkumi pelindung lampu utama, pelindung bonet dalam kemasan jernih, gelap atau hitam matte, nudge bar, pelindung bawah badan (skid plate) dan rock slider untuk melindungi bahagian sisi ketika melalui laluan berbatu.
Pemilik juga boleh melengkapkan Pajero dengan snorkel, lampu LED tambahan serta rak bumbung bagi meningkatkan keupayaan membawa barangan ketika melakukan perjalanan jauh atau aktiviti luar.
Bagi pengguna yang kerap menarik karavan atau treler, Mitsubishi turut menyediakan sistem tow bar yang dipasang terus pada casis jenis ladder-frame dengan struktur pengukuhan khas.

Sistem berkenaan boleh dipadankan dengan pendawaian treler, pendawaian brek elektrik serta weight distribution hitch. Turut ditawarkan ialah tapak pemasangan winch tugas berat untuk membantu mengeluarkan kenderaan apabila tersangkut di kawasan sukar.
Dari segi mekanikal, Pajero baharu menggunakan casis ladder-frame yang berasaskan pikap Triton, namun menerima talaan suspensi khusus serta penambahbaikan untuk memberikan keselesaan lebih baik.
Ia dikuasakan enjin turbodiesel empat silinder 2.4 liter yang menghasilkan 201hp dan tork 480Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II bersama Super All-Wheel Control (S-AWC) turut disediakan bagi meningkatkan kawalan dan cengkaman dalam pelbagai keadaan permukaan jalan.
Di Australia, harga Pajero bermula daripada AU$68,490 (sekitar RM191,983) bagi varian GLS lima tempat duduk, manakala varian tertinggi GSR ditawarkan pada harga AU$84,990 (sekitar RM238,234).
Harga rasmi bagi 20 aksesori tambahan itu bagaimanapun belum diumumkan.









