Pandu Uji

TOYOTA CAMRY 2.5V, MAKAN LEMANG PANAS DI PAGI RAYA

Toyota Camry, sebut saja nama Camry perkara pertama yang terbayang ialah kereta sedan lasak, selesa, jual balik pun mahal, beli unit terpakai pun mahal serta rekaan yang konservatif. Kali pertama melihat Camry XV70 di KL Autoshow 2018, penulis rasakan ia tidaklah menarik sangat

Ya rekaan jeriji depan Camry baru nampak agresif, tapi ia ibarat atok kita pergi ke gym selepas menelan Viagra dan susu protin. Tapi pandangan penilus berubah setelah memandu uji Camry 2.5V ini. Jadi inilah ulasan dan pengalaman penulis selepas memandu uji Camry 2.5V selama 6 hari dengan semua keadaan permukaan jalan.

Sebelum ini penulis pernah mengkritik Camry yang berharga RM 196,888 ini kerana ketiadaan enjin baru Dynamic Force, tapi berdasarkan pengalaman yang ditawarkan oleh enjin 2500cc Dual VVT-i dengan transmisi 6 kelajuan ini ialah memuaskan.

1. Rekaan Luar – kalau anda nampak rekaan baru Camry 2019 ini sangat berlainan dengan rekaan generasi sebelum ini memang mata anda tak salah. Ia direka oleh Ian Cartabiano dari Studio Rekaan Toyota California dan menampilkan penggayaan yang matang dan nampak gagah.

Masih lagi nampak oldskool, nampak eksekutif tapi penampilan jeriji, lampu LED depan, rekaan bampar belakang, serta bonet belakang dengan spoiler memberikan imej sporti. Tak keterlaluan dan nampak muda 10 tahun dengan generasi sebelum ini. Dari sisi ia nampak seiras dengan model Lexus yang lebih mahal.

2. Rekaan Dalam – kekuatan Camry terletak pada ruang dalaman yang besar dan selesa baik di depan ataupun belakang. Sama seperti Camry sebelum ini, kemasan bercorak kayu digunakan pada papan pemuka serta konsol di bahagian tengah. Cuma rekaan panel papan pemuka unit multimedia nampak kurang kena dengan rekaan luar yang garang.

Kemasan berwarna krim digantikan dengan warna hitam, dihiasi kemasan plastik berkilat serta krom bagi menyerlahkan sedikit imej sporti dan premium. Pada waktu malam, lampu warna biru lembut akan kelihatan dari celah papan pemuka.

3. Platform Baru – selain rekaan baru, Camry XV70 datang dengan platform TNGA – K khas untuk sedan segmen D. Suspensi belakang datang dengan suspensi double wishbone, tapi ia ditala untuk keselesaan maksimum berbanding dengan prestasi di selekoh. Ia lebih rendah, lebih stabil di selekoh dan terasa tegap walaupun dipandu laju.

4. Ergonomik – memandu selama 8 jam secara berterusan dengan Camry tidak menjadi masalah, kusyen yang digunakan ibarat sofa di ruang tamu. Selesa, lembut dan menyokong tubuh pemandu. Kusyen pemandu diberikan 8 tetapan dengan bantuan kuasa dan 2 tetapan memori. Kusyen penumpang depan boleh ditetapkan dengan bantuan kuasa

Stering pula ditetapkan dengan satu butang yang boleh diubah ketinggian dan jarak dari pemandu. Sangat mudah untuk mendapatkan kedudukan yang ideal untuk pemanduan jarak jauh. Kekuatan bagi Camry ialah semua susunan butang fizikal dibuat bagi mudah untuk dicapai oleh pemandu. Tak perlu pening nak selak masuk ke sistem skrin.

5. Ruang Belakang – Keselesaan di bahagian belakang pula ialah rekaan kusyen boleh membuatkan anda tidur lena sepenjang jalan. Ruang kaki amat luas dan anda boleh bina taman permainan kanak-kanak di sini. Perehat tangan, lampu malam, tirai sisi, tirai belakang membuatkan perjalanan menjadi lebih selesa.

Inilah menjadikan Camry sebagai pilihan utama sebagai kereta rasmi wakil rakyat. Dalam aspek keselesaan penumpang, Camry memang KING.

6. Ruang kargo – walaupun menggunakan rekaan suspensi Double Wishbone, Camry tetap menawarkan ruang kargo yang besar iaitu sekitar 493 liter. Bila dibuka dengan alat kawalan jauh, penutup bonet yang dikawal dengan damper akan terbuka pada keluasan maksimum. Ia berbeza dengan kereta lain yang hanya terbuka sedikit sahaja yang dipasang dengan spring.

6. Enjin – walaupun menggunakan enjin 2500cc Dual VVT-i yang lama, adalah tidak adil untuk mengatakan 181 kuasa kuda dan 235Nm tork tidak cukup untuk Camry. Disebabkan ini kereta untuk keselesaan, penulis hanya memandu secara santai dan enjin pun menjadi tenang. Namun jika diperah, sekejap saja ia memecut sehingga 200km/j.

Sekejap saja boleh tinggalkan budak-budak muda baru nak naik. Sebenarnya bergantung pada mood anda, kalau nak laju 181 kuasa kuda dan 235Nm tork sudah cukup. Tapi jika ia mengesan anda memandu santai, sangat susah nak dengar enjin menderam. Sedar-sedar anda sudah laju ke depan.

7. Penggunaan Petrol – secara purata penulis mendapat bacaan purata sekitar 11.18 km bagi setiap liter petrol. Halaju purata yang dipandu ialah sekitar 130km/j, 140km/j, 150km/j dan 180km/j. Tak boleh bawa perlahan, nanti mengantuk bila mata perlu membilang garisan putus-putus di tengah jalan.

Melainkan anda bersabar dan kekal memandu pada 120km/j, anda boleh dapat 16km/liter petrol. Tapi semoga anda istiqamah memandu pada 120km/j.

8. Transmisi – hanya transmisi 6 kelajuan Super ECT sahaja yang ditawarkan. Dah nama sedan untuk bawa bos, maka transmisi ini tidak akan menyentap walaupun pedal minyak ditekan rapat. Ratio gear akan ditukar dengan cermat dan lancar. Jika anda mahu mengawal gear, gunakan tombol gear untuk fungsi. Tapi pada kebanyakan masa, biarkan saja ia dalam mode D.

9. Pengendalian – penulis ada dua pendapat berkenaan dengan Camry 2.5V ini. Bahagian depan Camry terasa padat dan kawalan stering meyakinkan bila dipandu sehingga 160km/j. Mungkin kerana Camry fokus pada keselesaan, penyerap hentak di bahagian sedikit lembut. Jadi jika terlalu laju, ia terasa sedikit membuai pada halaju 180km/j.

Paling selesa ia dipandu antara 130-160km/j dimana penyerap hentakan Camry menyerap semua lubang di permukaan jalan dengan cemerlang. Brek Camry walaupun terasa lembut, namun aksinya boleh dipuji. Camry membrek dengan kemas dan tegap samaada di selekoh ataupun jalan lurus. Sangat susah untuk menjadikannya tidak stabil walaupun dipandu laju dan membrek di selekoh

Antara pengalaman yang paling menarik ialah ketika melalui jalan Jeli ke Grik. Jalan yang berselekoh disulami dengan permukaan jalan yang berlubang bagaikan selepas dihentam tahi bintang dilalui oleh Camry dengan tenang pada kelajuan 80km/j. Ia ibarat anda berjalan-jalan di taman sambil memegang tangan isteri (atau isteri-isteri)

10. Keselesaan – ruang barisan kedua yang besar memudahkan penulis memasang 2 kerusi keselamatan bayi dengan mudah. Malah masih ada ruang untuk isteri duduk di tengah jika diperlukan. Penutup cangkuk ISOFIX boleh dibuka memudahkan kerusi bayi dipasang

11. Ciri Menarik – Camry menawarkan unit Head up Display lengkap dengan bacaan RPM, halaju, memaparkan maklumat sistem audio serta sistem adaptive auto cruise. Terdapat sistem pengecas tanpa wayar pada bahagian konsol tengah, poin pengecas di depan dan belakang. Terdapat cahaya lampu yang akan menyala pada bahagian sisi pintu kereta bagi tujuan pencahayaan pada untuk menerangi permukaan jalan ketika gelap

Di bahagian sisi kusyen penumpang depan, terdapat 2 suis untuk pemandu mengalihkan kusyen depan lebih ke depan bagi memberi ruang untuk penumpang belakang. Menunjukkan Toyota tahu bahawa Camry ini memang sesuai untuk pemandu membawa bos di bahagian belakang

12. Keselamatan – Camry XV70 dilengkapi dengan pakej keselematan Toyota Safety Sense yang merangkumi Adaptive Cruise Control, Brek Kecemasan Automatik, Lane Departure Alert, lampu tinggi automatik, sistem amaran lintasan belakang dan sistem amaran titik buta. Camry juga dilengkapkan dengan 7 beg udara, sistem pengesan tekanan tayar, ESC, dan pengelap hujan automatik

13. Kelemahan – ketika dilancarkan pada 2018, Camry tidak dilengkapi dengan Android Auto atau Apple Car Play. Mungkin anda boleh melihat fungsi tersebut setelah Camry melalui proses facelift nanti

Dalam segmen D, iaitu sedan saiz besar eksekutif sudah tak banyak pilihan yang ada dan ramai pembeli mula beralih arah pada SUV. Accord, Passat dan Mazda 6 menawarkan pemanduan yang lebih sporti, tapi jika anda perlukan sebuah sedan eksekutif yang besar dan selesa untuk membawa pengarah syarikat maka pilihan yang sangat tepat ialah Toyota Camry 2.5V

Imej konservatif telah dilembutkan dengan rekaan baru yang lebih dinamik. Pengendalian Camry yang dulu diejek bagaikan sampan telah diperbaiki dengan cesi TNGA-K yang lebih lebar, stabil dan sporti. Aspek keselamatan dipertingkatkan dengan Toyota Safety Sense. Pendek kata generasi baru ini lengkap dari segala aspek.

Toyota Camry ini ibarat menikmati juada lemang panas-panas dengan rendang panas di pagi raya. Lemak berkrim, pedulikanlah dengan kalori yang masuk dalam perut, yang penting memang nikmat.

Google ads
Back to top button