Buletin

TOYOTA COROLLA GR SPORT 2023, PRAKTIKAL UNTUK PEMANDUAN HARIAN

Sebelum ini Toyota memperkenalkan model hebat GR Corolla dan menariknya disusuli pula dengan GR Corolla Morizo Edition.

Para peminat kini mempunyai dua pilihan dengan GR Corolla Morizo Edition lebih berorientasikan model perlumbaan tanpa kerusi di belakang dan lebih berkuasa.

Apa yang pasti, kedua-duanya berkuasa tinggi dari enjin 1.6 liter turbo tiga silinder dan masing-masing berkuasa 300 hp, 400 Nm dan 300 hp, 370 Nm.

Sebelum dua model tersebut, Toyota telah memperkenalkan Corolla GR Sport di Eropah pada tahun 2020. Model ini hadir dengan kosmetik GR dan tanpa kuasa luar biasa.

Sesuai buat pelanggan yang mahukan praktikaliti sebuah kereta harian dan ditawarkan dalam bentuk badan hatchback dan touring (wagon).

Dari segi sambutan, lebih 20,000 unit Corolla GR SPORT telah terjual.

Pada minggu sama pengenalan GR Corolla Morizo Edition, Toyota turut memperkenalkan barisan Corolla 2023.

Dari segi kelengkapan luaran, Corolla GR SPORT jelas berbeza dengan bampar depan dan belakang yang lebih garang.

 

Nampak sama seperti Corolla GR Sport 2020 kecuali bampar belakang dengan rekaan baharu dan tanpa riasan krom.

Bahagian tepi pula mempunyai skirt dengan rekaan ringkas. Skirt sisi GR Corolla juga ringkas cuma nampak garang dengan fender depan dan belakang yang mengembang.

Selain itu, spoiler belakang Corolla GR Sport juga sederhana ala GR Corolla. Model dengan spoiler tinggi pun ada dan bersama komponen eksklusif lain dipasang pada GR Corolla Circuit Edition.

Satu lagi komponen perbezaan pada model 2023 ialah roda aloi saiz 18 dengan rekaan baharu.

Pada bahagian dalam, tempat duduk Corolla GR Sport hatchback dan Touring Sports mempunyai kemasan baharu dengan logo GR pada penyandar kepala dan corak heksagon kecil di bawah dan tepi.

Logo GR turut ditambah pada butang penghidup enjin.

Dari segi rangkaian kuasa, Corolla GR Sport terdahulu ditawarkan dalam dua pilihan iaitu 2ZR-FXE 1.8 liter hibrid dan M20A-FXS 2.0 liter hibrid.

Enjin Dual VVT-i itu berkuasa 122 hp, tork 142 Nm dan 184 hp, tork 190 Nm. Tork maksimum dengan sistem elektrik pula 163 Nm dan 202 Nm.

Berikut pula ciri-ciri Toyota Corolla 2023:

  • Enjin 1.8 liter dan 2.0 liter hibrid yang lebih berkuasa.
  • Unit kawalan kuasa (PCU) dan motor transaxle direka semula.
  • Bateri lithium-ion yang lebih berkuasa, kecil dan ringan.
  • Kuasa maksimum model 1.8 liter ialah 140 hp dengan pecutan 0-100 km/j memerlukan 9.2 saat atau 1.7 saat lebih laju.
  • Kuasa maksimum model 2.0 liter ialah 196 hp dengan pecutan 0-100 km/j jimat setengah saat kepada 7.5 saat. 
  • Daya dan sensasi pecutan lebih agresif.

  • Bunyi rangkaian kuasa lebih senyap.
  • Rekaan baharu pada corak gril depan, keliling lampu kabus dan roda aloi.
  • Varian atas dilengkapi lampu bi-LED baharu dengan sistem lampu puncak adaptif (AHS). 
  • Skrin multimedia 10.5 inci. Varian pertengahan dan ke atas dilengkapi panel instrumen saiz 12.3 inci dan boleh disesuaikan mengikut mod Casual, Smart, Sport dan Tough. 
  • Riasan dalaman baharu. 
  • Sistem bantuan pemanduan dan keselamatan Toyota T-Mate dan Toyota Safety Sense.

Toyota Corolla 2023 akan mula dijual di Eropah pada suku pertama tahun hadapan.

BACA : TOYOTA GR86 SPECIAL EDITION TERHAD 860 UNIT SAHAJA, RODA LAWA!

BACA: TOYOTA CAMRY NIGHTSHADE SPECIAL EDITION 2023, UNTUK AMERIKA SYARIKAT!

BACA: TOYOTA MINTA YAMAHA BANGUNKAN ENJIN HIDROGEN V8 NA. KUASA CECAH 444HP, 540NM 

Toyota Corolla 2023 Eropah:

Google ads
Back to top button