Artikel Pilihan

PERODUA AXIA 2023, GUNA ENJIN 1200CC 3 SILINDER?

Baru-baru ini kami ada menulis berkenaan dengan model baru yang akan menggantikan Perodua Axia pada tahun depan. Atau lebih tepat lagi model dengan kod projek D74A ini dikatakan akan mula dilancarkan pada suku pertama tahun 2023.

Jadi berdasarkan perkembangan semasa, kita menjangkakan full model change terbaru Axia ini akan dilancarkan pada bulan Mac atau April 2023. Berdasarkan pada kod projek, platform yang akan digunakan ialah platform Daihatsu New Global Architecture yang serba baru sama seperti Ativa dan juga Alza baru

Penggunaan kod D74A ini juga membayangkan bahawa Axia akan menggunakan transmisi Dual Mode CVT baru yang dibangunkan dan direka khas bagi kegunaan platform DNGA. Jadi anda boleh ucapkan selamat tinggal pada transmisi 4 kelajuan automatik kerana transmisi CVT Daihatsu ini sebenarnya jauh lebih baik.

Mengikut maklumat laman sesawang Autofun Indonesia, Axia terbaru ini juga bakal menggunakan enjin serba baru 3 silinder 1200cc yang dikenali dengan kod enjin WA-VE. Ia merupakan enjin asas kepada varian WA-VEX yang digunakan untuk Daihatsu Rocky hibrid

Enjin WA-VE bersesaran 1196cc yang terhasil daripada 3 silinder. Setiap silinder direka dengan diameter bersaiz 73.5mm dan lejang sebesar 94mm. Enjin ini tiada kaitan dengan enjin 1KR-VET 3 silinder 998 cc dengan saiz diameter 71mm dan juga lejang sebesar 83.9mm

Dari segi prestasi enjin ini mampu menghasilkan 85 kuasa kuda pada 6000 RPM dan 113Nm tork pada 4500 RPM. Sebagai perbandingan enjin 1KR-VET menghasilkan 96 kuasa kuda dan 140Nm tork antara 2400-4000 RPM.

Model Perodua Axia sekarang menggunakan enjin 3 silinder 1KR-VE dengan teknologi pemasaan injap VVT-i menghasilkan 67 kuasa kuda dan 91Nm tork. Jika maklumat ini adalah tepat, maka Axia baru sebenarnya lebih berkuasa sebanyak 18 kuasa kuda dan 22Nm tork.

Enjin ini apabila dipasang pada Daihatsu Rocky berupaya mencatatkan bacaan purata 24.6km bagi setiap liter petrol bila diuji dengan protokol JC08. Enjin ini memberikan bacaan sekitar 20.7km bagi setiap liter petrol dengan protokol WLTC

Google ads
Back to top button