Buletin

TOYOTA GR86 SPECIAL EDITION TERHAD 860 UNIT SAHAJA, RODA LAWA!

Sejak kebelakangan ini Toyota sibuk dengan pelancaran dan pembaharuan pelbagai model. Produk yang dilancarkan pula merentasi segmen dari model elektrik, hibrid dan kereta sport.

Semuanya diberi perhatian oleh Toyota termasuk kereta sport yang berada dalam pasaran niche.

Walaupun pasaran kecil, model kereta sport berjaya melonjakkan nama Toyota di kalangan penggemar prestasi.

Tidak kurang juga, model berprestasi Toyota menerima liputan meluas dari media.

Terbaru Toyota memperkenalkan GR86 Special Edition 2023. Apa yang istimewanya?

Pertama sekali, untuk pasaran sebesar Amerika Syarikat hanya 860 buah GR86 Special Edition dikeluarkan dan lagi keistimewaan pada ciri-ciri berikut:

  • Warna oren Solar Shift
  • Sistem ekzos berprestasi dengan paip besi tahan karat, muncung hitam krom dan logo GR
  • Roda GR hitam kusam saiz 18 inci dengan penutup hab dan nat hitam
  • Tayar Michelin Pilot Sport 4
  • Grafik hitam berkembar GR di belakang atau tiang C
  • Kemasan dalaman Ultrasuede/kulit dengan logo GR Special Edition

Di Amerika Syarikat, GR86 ditawarkan dalam dua varian iaitu asas dan Premium.

GR86 Special Edition ini pula datangnya dari GR86 Premium dan sudah tersedia dengan roda 18 inci, tayar Michelin Pilot Sport 4 dan spoiler duckbill.

Bahagian dalam pula dilengkapi kerusi depan dengan enam larasan dan fungsi pemanasan dua tahap.

Turut dilengkapi sistem audio dengan lapan pembesar suara, amplifier, pedal sport dan perehat kaki aluminium.

Berkenaan kuasa, GR86 digerakkan enjin 2.4 liter dengan kuasa lebih tinggi berbanding generasi pertama.

Kuasa meningkat hampir 11 peratus dari 205 hp kepada 228 hp dan tork 249 Nm dari 211 Nm pada model dahulu.

Selain itu perubahan nyata boleh dilihat pada daya kilas. Enjin baharu ini mempunyai puncak daya kilas yang lebih awal iaitu pada 3,700 rpm berbanding 6,600 rpm sebelumnya.

Dari situ boleh dibayangkan karakter enjin GR86.

Pecutan juga lebih tangkas dengan 0-97 km/j memerlukan 6.1 saat bagi transmisi manual berbanding 7 saat dan dari 8 saat kepada 6.6 saat untuk transmisi automatik ECT-i.

Tidak hanya rangkaian kuasa, bahagian kejuruteraan GR turut mempertingkatkan casis dan badan supaya sepadan dengan prestasi baharu.

Ketegaran torsi meningkat 50 peratus berbanding model sebelum ini hasil pengukuhan casis secara strategik dan penggunaan pelekat pada struktur kereta.

Selain itu, GR86 menggunakan rangka belakang penuh baharu yang mengikat casis atas dan bawah secara bersama.

Lagi kaedah dan bahan yang digunakan ialah besi kekuatan tinggi, besi terapan panas dan aluminium.

Penggunaan lebih banyak aluminium pada badan kereta menjadikan GR86 lebih ringan berbanding model terdahulu walaupun model baharu ini mempunyai lebih banyak perkakasan.

GR86 menggunakan panel badan seperti bonet, fender dab bumbung yang diperbuat daripada aluminium.

Ada lagi yang menyumbang kepada penjimatan berat seperti penutup minyak dari resin, rangka kerusi depan ringan, stereng berkuasa rekaan baharu dan perubahan pada blok enjin dan rangkaian kuasa.

Penggunaan lebih banyak aluminium pada GR86 merendahkan lagi pusat graviti yang sedia rendah dan menyumbang kepada respon stereng dan kelincahan kereta.

Harga GR86 Special Edition tidak dinyatakan dan sebagai rujukan, GR86 Premium disyorkan pada $30,300 (RM133,047).

BACA: TOYOTA CAMRY NIGHTSHADE SPECIAL EDITION 2023, UNTUK AMERIKA SYARIKAT!

BACA: TOYOTA VELOZ SKOR 5 BINTANG ASEAN NCAP, MARKAH 80%.

BACA: TOYOTA MINTA YAMAHA BANGUNKAN ENJIN HIDROGEN V8 NA. KUASA CECAH 444HP, 540NM 

Google ads
Back to top button